Wednesday, February 3, 2016

Ahmad Bashah perlu lawan aura Mukhriz


Mukhriz, Bashah
SHAH ALAM - Pertukaran Menteri Besar Kedah hari ini dilihat bukan penanda bahawa krisis di negeri itu bakal berakhir sebaliknya ia tanda bermulanya cabaran buat barisan kepimpinan baharu untuk menawan kembali hati ahli parti dan rakyatnya. Pensyarah dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, menteri besarnya yang baharu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pula dilihat perlu 'melawan' aura yang ditinggalkan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
"Mukhriz seorang menteri besar yang popular dalam kalangan rakyat Kedah khususnya dalam kalangan generasi muda dan sudah pasti krisis itu tidak akan berakhir begitu sahaja dengan berlakunya pertukaran baton kepimpinan.
"Cabaran besar untuk mereka iaitu sejauh mana mampu untuk menggunakan tempoh masa yang singkat ini untuk memulihkan bukan sahaja perpaduan dalam parti tetapi juga persepsi dalam kalangan rakyat Kedah," katanya kepada Sinar Online.
Semalam, Mukhriz telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta-merta selepas dimaklumkan beliau hilang sokongan majoriti di Dun Kedah.
Dalam pada itu, ketika ditanya kemampuan Ahmad Bashah dalam meraih kembali sokongan rakyat yang dahulunya bersama Mukhriz, Dr Sivamurugan berkata, perkara itu banyak bergantung sejauh mana Mukhriz tidak dipinggirkan tetapi turut masih diberikan ruang bersama dalam parti dan juga kepimpinan negeri.
"Jadi, seeloknya tidak berlaku pembunuhan karakter ataupun cantas mencantas. Barangkali itu sekurang-kurangnya boleh meminimumkan.
"Tetapi untuk pulih sepenuhnya, saya rasa memakan masa. Walaupun Ahmad Bashah mempunyai kedudukan di Pusat dan negeri tapi kesemua itu akhirnya akan mempengaruhi kedudukan beliau dalam parti," katanya.
Menyentuh soal kepimpinan Mukhriz yang dilihat mendapat tempat di hati generasi muda, beliau berkata, keputusan hari ini memang sukar untuk diterima golongan tersebut.
"Mukhriz tidak mengalah malah beliau sudah berjuang hingga ke akhir dan apa yang berlaku kita lihat, beliau tidak mendapat sokongan majoriti.
"Sudah pasti golongan muda sukar menerima keputusan ini memandangkan beliau dilihat bukan sahaja ikon tetapi juga model kepada mereka...beliau dianggap pemimpin pelapis jadi, sudah pasti akan ada protes ke atas keputusan ini," katanya.

No comments:

Post a Comment