Monday, February 13, 2017

Adly: Tindakan Berbaik Dengan Pemerintah Yang Zalim Kelirukan Rakyat





Tindakan sebuah parti pembangkang yang mengambil tindakan untuk berbaik-baik dengan parti pemerintah yang terkenal dengan isu rasuah, salahguna kuasa, ketidak-adilan dan kezaliman kepada rakyat boleh mengelirukan rakyat di dalam negara ini, demikian dinyatakan oleh Tuan Hj. Adly Zahari, Pengerusi Parti Amanah Negeri negeri Melaka.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Ustaz Siddiq Fadzil di dalam pembentangan kertas kerjanya di NUNJI '17 di Shah Alam baru-baru ini yang menyatakan bahawa beliau tidak terbayang dosa para ulamak yang melahirkan fiqh yang menyokong penguasa yang zalim sehingga rakyat terus-terusan menjadi mangsa kezaliman.


Menurut Adly, yang menjadikan asas perjuangan politik Islam ialah ajaran Islam sendiri yang menghalang kita untuk cenderung kepada kezaliman merujuk kepada Surah Hud: 113 "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan".

Keduanya, kata-kata dari Syed Jaafar As-Sadiq (cicit Rasulullah saw) yang mengungkapkan "Ulamak itu kepercayaan para Rasul, dan apabila kau temukan mereka telah cenderung kepada pemerintah, maka curigailah ketakwaan mereka."

Walaupun kita melihat mereka mendakwa mereka itu golongan ulamak tetapi dengan sokongannya kepada pemerintah, ia mengelirukan rakyat. Kita lihat di pagi hari mereka boleh mengkritik pemerintah tetapi di petang hari mereka sekapal dengannya, tambahnya lagi.

Adly menyatakan demikian di dalam satu wawancara di program Menuju Ke Puncak TV Amanah Melaka yang disiarkan secara lansung dari studio Media Oren Melaka malam kelmarin yang dihoskan oleh Pengarah Komunikasi Amanah Melaka, Zulkiply Harun.

Di dalam wawancara berkenaan Adly turut memberi pencerahan mee\ngenai Maqasid Syariah Sebagai Teras Negara Bangsa yang menjadi tema Nadwah Ulamah Nahdatul-Jadidah (NUNJI) 2017 yang telah diadakan pada 5 Februari lalu di Auditorium Kompleks Belia Nasional Shah Alam yang telah dihadiri oleh 870 orang peserta.

Adly turut menjelaskan mengenai tujuan Parti Amanah Negara ditubuhkan ialah untuk mendapatkan kuasa yang dengan kuasa itu kita dapat wewujudkan kepimpinan negara yang beramanah yang kelak akan memberikan rahmat untuk semua.

"Prinsip amanah kita perjuangan, walaupun di dalam Perlembagaan kita kita telah tulis Islam itu sebagai dasar perjuangan kita tetapi bukan semata-mata kita boleh berbangga dengan apa yang kita tuliskan. Sekadar menyatakan dasar kita Islam tidak membawa makna sekiranya kita gagal mengimplementasikan samada di peringkat dalaman parti kita apatah lagi jika kita sendiri menjadi pemerintah," ujarnya lagi.

Mengulas mengenai perkembangan dan kemajuan Parti Amanah Negara negeri Melaka, beliau menyatakan bahawa kelebihan Amanah ialah ia telah dapat mengejar masa. Walaupun usianya baharu setahun tetapi seolah-olah ia sebuah parti politik yang telah lama.

Menurut beliau, diantara momentum besar sokongan kepada Amanah di peringkat negeri adalah komitmen ahlinya terhadap program=program parti. Di dalam konteks Melaka, dalam usianya baharu setahun, ia telah dapat mengejar masa, dalam tempoh setahun orang lain masih bertatih, Amanah Melaka sudah berlari.

Sewaktu ditanya apakah membolehkan Amanah Melaka mencapai status quo yang ada, beliau menyatakan prinsip AMANAH sendiri yang bersifat inklusif membolehkan ia diterima oleh bukan sahaja mereka yang sudah terlibat dengan politik kepartian tetapi oleh NGO-NGO Islam yang lain seperti ABIM, IKRAM, HALUAN dan lain-lain serta oleh individu yang belum berparti.

Fikrah-fikrah yang berbeza-beza ini telah dapat di satukan di dalam satu wadah bernama AMANAH.

Adly juga mengulas mengenai isu semasa berkenaan misi bantuan kemanusiaan Flotilla yang telah menyerahkan bantuan kepada kerajaan Myanmar tetapi tidak terus kepada Rohingya. Beliau mempersoalkan jika keadaan itu berlaku mengapa tidak disalurkan kepada Kedutaan Myanmar di Malaysia sahaja dan ia boleh menjimatkan jutaan ringgit kerana untuk menyewa kapal untuk membawa misi sahaja kosnya sudah menelan belanja berjuta ringgit.

"Wang (untuk menghantar misi) itu sahaja sudah dapat membantu Rohingya, bukan sahaja (di Myanmar) tetapi masyarakat Rohingya yang ada di Malaysia," jelasnya.

Siaran live wawancara dengan Adly tersebut telah mencecah hampir 1,000 penonton.

Setakat ini rancangan Menuju Ke Puncak TV Amanah Melaka yang disiarkan pada setiap hari Jumaat jam 9.00 malam sebelum ini sudah mengadakan wawancara dengan Naib-naib Pengerui Amanah Melaka, Sdra Zairi Suboh dan Ustaz Julasapiyah Kassim

No comments:

Post a Comment