Monday, December 21, 2015

Antara UMNO, PAS dan Neelofa

Kadir Diko / bhnews@bh.com.my
Hubungan PAS dan UMNO, bagaikan lagu Melayu klasik nyanyian Nordin Ahmad dan Latifah Omar dalam filem Gurindam Jiwa (1965), yang liriknya antara lain berbunyi: "Batang selasih permainan budak, Daun selasih dimakan kuda, Bercerai kasih talak tiada, Seribu tahun kembali juga."
Ya, PAS dan UMNO pernah bekerjasama dalam Barisan Nasional (BN) ketika zaman Tun Abdul Razak Hussein pada 1972 dan terkeluar pada 1978 ketika zaman Tun Hussein Onn. 'Perkahwinan' kedua-dua parti meskipun bercerai talak satu, tidaklah sampai 'cina buta' dan boleh rujuk semula. Tun Razak mencetus idea penubuhan BN, tetapi nama BN dan lambang dacing dikatakan dicadang oleh pemimpin PAS ketika itu, Tan Sri Asri Muda, kerana penyokong PAS fobia dengan perkataan 'Perikatan.' Dalam keadaan politik dan kesejahteraan umat Islam kini tercabar sehingga institusi agama Islam diserang, mungkin elok dua parti Melayu terbesar ini membuka lembaran baru untuk 'berkahwin kali kedua,' bukan beristeri dua atau tiga.
Pelakon dan pengacara popular, Neelofa pun tidak sanggup jadi isteri ketiga bekas menteri dan menafikan khabar angin itu. Memanglah dalam perkahwinan pertama dulu dan sehingga selepas 'bercerai,' episod perbalahan antara UMNO dan PAS tidak pernah sunyi. Tapi kata orang, selepas kahwin kali kedua, lazimnya lebih serasi. 'Kahwin paksa' antara PAS dengan DAP dalam pakatan tidak bertahan lama kerana perbezaan ideologi.
Sebenarnya episod cubaan 'merisik' antara UMNO dan PAS ini sudah bermula sejak PAS dipimpin oleh Allahyarham Datuk Fadzil Noor lagi. Pada 9 Mei 2002, Fadzil dan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berada di pentas sama di bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara.
Dewan penuh sesak untuk perhimpunan syarahan perdana bertajuk 'Palestin dan Kemanusiaan,' Yang hadir sama ketika itu ialah Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hadi Awang selaku Timbalan Presiden PAS. Kira-kira 3,000 orang hadir, termasuk tokoh akademik, budaya, ulama, ahli politik, dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kelihatan teruja dan ada yang menganggap majlis itu sebagai detik ke arah 'kerjasama' lebih jitu antara PAS dan UMNO.
Seorang pemimpin kanan PAS ketika itu berbisik kepada penulis bahawa suasananya kelihatan amat luar biasa kerana ia adalah pertemuan dan 'pertembungan' buat kali pertama pemimpin Melayu, khususnya PAS dan UMNO di pentas sama dengan matlamat sama - demi perjuangan rakyat Palestin.
Namun, ia gagal menghasilkan sesuatu yang diharapkan. Khamis lalu pula, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Hadi, selaku Presiden PAS duduk di pentas sama pada majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar (WAAG) Malaysia 2015 di ibu negara. Najib dan Hadi kelihatan amat mesra. Malah, ucapan mereka menjurus ke arah perpaduan ummah.
Apa yang berlaku ketika zaman Fadzil Noor-Dr Mahathir dulu ialah tiada langkah susulan konkrit diambil. Kita berharap zaman Najib-Hadi, ada tindakan susulan setelah jalan dirintis oleh kedua-dua pemimpin itu. Tidak salah bagi sayap Pemuda UMNO dan PAS mengadakan majlis 'suai kenal' atau menganjurkan perlawanan bola sepak untuk penyokong kedua-dua parti, bagi merintis jalan peringkat bawahan. Andainya Neelofa jadi juruacara majlis, sudah pasti ribuan penyokong UMNO dan PAS akan turut serta.

No comments:

Post a Comment