Monday, August 24, 2015

Tema Hari Merdeka: Kerajaan BN buli, sabotaj Pulau Pinang


pix-guan-eng

 Roketkini.com


GEORGE TOWN: Sejak lima tahun berturut-turut, tema Hari Merdeka peringkat negeri Pulau Pinang sentiasa berbeza dengan peringkat Persekutuan. Namun ia tidak pernah menjadi isu, malah diterima baik oleh Kerajaan Pusat.

Tiba-tiba sekarang pimpinan UMNO-Barisan Nasional dilihat mahu mempolitikkan isu tersebut.
Tema Merdeka tahun ini untuk Persekutuan adalah "Sehati Sejiwa" manakala Pulau Pinang "Bersih, Cekap, Amanah".    

Tema Hari Merdeka 2008 – 2015
TAHUN (Kali ke-)                                               TEMA
PULAU PINANGPERSEKUTUAN
2008 (51)Perpaduan Teras KejayaanPerpaduan Teras Kejayaan
2009 (52)1 Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan1 Malaysia:Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan
2010 (53)Merdeka1 Malaysia: Menjana Transformasi
2011 (54)Kerajaan Berjiwa Rakyat Memartabatkan Rakyat1 Malaysia: Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera
2012 (55)Budaya Bersih Merdekakan RakyatJanji Ditepati
2013 (56)Negaraku Selamat, Bersih, Hijau dan SihatNegaraku Berdaulat Tanah Tumpahnya Darahku
2014 (57)Bersatu dan MajuMalaysia:Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta
2015 (58)Bersih, Cekap, Amanah# Sehati Sejiwa

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang telah mengeluarkan pekeliling mengarahkan semua sekolah di negeri itu supaya tidak mengambil bahagian dalam apa-apa perayaan atau perarakan Merdeka ke-58 kerana kerajaan negeri telah memilih "Bersih, Cekap, Amanah" sebagai tema Merdeka tahun ini.

"Mengapa tiada larangan dikenakan sejak 2010 tetapi hanya sekarang? Ini adalah sabotaj bermotifkan politik," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kedua-dua Menteri Pendidikan baru, Datuk Seri Mahdzhir Khalid dan timbalannya Senator Datuk Chong Sin Woon harus dikutuk kerana menterbalikkan dasar pendidikan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan cuba mengaitkan perkataan "Bersih" dengan protes aman yang dianjurkan pada 29-30 Ogos untuk membantah rasuah dan RM2.6 bilion yang disimpan dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

"Ini merupakan semata-mata satu tindakan politik remeh yang tidak matang kerana perkataan 'Bersih' digunakan dalam tema 'Bersih, Cekap, Amanah'. Adakah 'Bersih' kini satu perkataan yang kotor, kesat dan lucah yang juga mesti diisytiharkan haram?" soal beliau.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, permainan politik tidak wajar menghancurkan harapan kanak-kanak sekolah yang tidak bersalah yang sudah biasa mengambil bahagian dalam sambutan Hari Merdeka setiap tahun.

Ini jelas perubahan daripada arah pendekatan Muhyiddin yang sebelum ini membenarkan kerajaan negeri Pulau Pinang memilih tema Merdeka sendiri tanpa apa-apa larangan kepada kanak-kanak sekolah yang mengambil bahagian, tambah beliau.

"Pengharaman ini adalah tidak logik, tidak rasional dan juga tidak bertanggungjawab memandangkan tema Bersih, Cekap, Amanah berasal daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semasa beliau mula mengambil alih jawatan pada tahun 1981.

"Bersih, Cekap, Amanah juga digunakan secara meluas dalam kepala surat kerajaan sebagai peringatan untuk menjadi bersih dan tidak rasuah.

"Mungkin Bersih, Cekap, Amanah telah memastikan tidak ada sumbangan RM2.6 bilion yang disimpan di dalam akaun peribadi Mahathir. Apakah Mahdzhir dan Kementerian Pendidikan kini mengatakan bahawa Tun Dr Mahathir adalah anti-nasional?" ujar beliau.

Beliau menambah, Kerajaan Persekutuan bersikap tidak munasabah dan membuli kerajaan negeri Pulau Pinang dengan mengharamkan tema Kerajaan BN sendiri pada tahun 1980an, iaitu "Bersih, Cekap, Amanah".

Justeru, katanya, murid-murid sekolah Pulau Pinang akan dikorbankan secara sia-sia apabila mereka dilarang daripada mengambil bahagian dalam sambutan Merdeka ke-58 hanya kerana perkataan yang kini dianggap bahaya oleh BN, iaitu "Bersih, Cekap, Amanah", yang nampaknya juga dianggap oleh BN sebagai tidak sesuai untuk kanak-kanak. – Roketkini.com

Sokong Undi Tak Percaya Pada Najib




Oleh Dato'Mahfuz Hj Omar


1.Sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena saya bersetuju dengan cadangan yang sedang hangat diperkatakan oleh semua pihak tentang perlunya undi tidak percaya pada Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri. Isu ini timbul menjadi perbualan hangat semua pihak selepas secara tiba tiba TPM Datuk Zahid Hamidi mendedahkan kononnya ada komplot untuk menggulingkan kerajaan. Pada hal bukan kerajaan yang nak digulingkan tetapi Perdana Menteri Najib Razak yang nak diturunkan.

UNDI TAK PERCAYA PERLU UNTUK SELAMATKAN NEGARA.

2.Keadaan Politik salahguna kuasa dan ekonomi negara yang makin meruncing memerlukan suatu perubahan segera bukan hanya kepada seorang PM tetapi memerlukan perubahan terhadap institusi awam dan memastikan konsep pemisahan kuasa benar benar terlaksana. Najib sudah dilihat melakukan jenayah demokrasi dengan mencabuli konsep pemisahan kuasa untuk melindungi jenayah kewangan 1MDB yang membebankan rakyat dan negara.

3.Pendedahan yang dibuat oleh Datuk Abdul Hamid Bador bekas timbalan pengarah cawangan khas PDRM adalah sesuatu yang sangat serius bagaimana institusi penguatkuasaan dan perundangan negara sedang dikawal untuk mengikut telunjuk pemimpin negara bagi melindungi jenayah 1MDB dan penjenayah berprofil tinggi dari didakwa. Undi tidak percaya terhadap Najib suatu yang sangat mendesak dan segera demi menyelamatkan negara dan rakyat dari keadaan yang lebih buruk.

4.Atas asas inilah saya mengambil pendirian untuk menyokong sebarang usaha dari mana mana pihak dikalangan ahli Parlimen yang mendapat kepercayaan majorati ahli Parlimen untuk menyegerakan usaha undi tidak percaya terhadap PM Najib. Apa yang penting suatu perundingan dari kalangan ahli Parlimen dan parti politik perlu dibuat untuk mencapai kesepakatan tentang apa yang perlu dilaku dan dicapai dalam tempoh kerajaan peralihan. Apa yang penting ialah semua pihak perlu mendahulukan rakyat dan Malaysia daripada kepentingan parti atau kelompok yang akhirnya menjemukan rakyat terhadap pemimpin politik.

"SEHATI SEJIWA BERSAMA RAKYAT SELAMATKAN MALAYSIA."

(*) Dato'Mahfuz Hj Omar.Ahli Parlimen Pokok Sena.

Orang Melayu Terus Dibangsatkan ?




Oleh Abu Hassan Adam 


Orang Melayu kurang membaca. Aku tak kata semuanya begitu. Namun apa yang aku perhatikan kebanyakannya begitulah. Aku tak berapa hairan sekiranya keadaan sebegini berlaku di kawasan desa sebab aku sedar bahawa terlalu sukar untuk medapatkan bahan-bahan bacaan yang bermutu di sana. Yang aku merasa pelik ramai yang berada di Kuala Lumpur juga amat kurang mendekatkan diri dengan sumber ilmu yang amat berguna ini.

Aku membuat kesimpulan sebegini ekoran dari kemelut politik yang berlegar dengan 'panas'nya di negara kita kini. Berbagai cerita yang 'tak masuk akal' berlegar di negara kini yang berhubung kait dengan isu IMDB dan wang berjumlah RM 2.6 billion ringgit yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi DS Najib. Berbagai 'cerita rekaan' telah muncul. Aku masih mengatakan 'cerita rekaan' kerana tidak terbukti kesahihannya dan boleh dipertikaikan.

Yang anihnya, walaupun cerita rekaan, namun ahli UMNO di semua peringkat semacam begitu yakin dan percaya dengan 'cerita rekaan' yang disampaikan oleh pemimpin mereka sehinggakan DS Najib sendiri merasakan bahawa penjelasan berkaitan dengan IMDB dan Wang RM 2.6 billion eloklah disampaikan kepada ahli UMNO secara tertutup. Mungkin pada pandangan beliau, hanya golongan UMNO sebegini sahaja yang mahu 'mengangguk' mengiakan apa saja yang diperkatakannya.

Tetapi soalnya, DS Najib bukanlah Perdana Menteri bagi ahli UMNO semata-mata. DS Najib adalah milik rakyat Malaysia seluruhnya dan setiap rakyat berhak untuk mengetahui keadaan sebenarnya tentang apa yang berlaku kepada IMDB dan keadaan sebenar-benarnya berkaitan dengan wang RM 2.6 billion yang tersimpan dalam akaun peribadi beliau.

Rakyat pada umumnya tentu tidak begitu yakin dengan penjelasan seorang pemimpin UMNO yang mengatakan wang sebesar itu jumlahnya dihadiahkan kepada DS Najib semata-mata untuk memerangi pihak Yahudi dan ISIS. Walaupun ada segelintir kecil masyarakat di Malaysia kini yang masih mengangguk dengan apa juga penjelasan yang diberikan, namun sebahagian besar rakyat Malaysia masih tidak yakin dengan penjelasan sedemikian.

Betul-betul menghairankan kita bahawa masih ada lagi golongan masyarakat ( orang Melayu) yang boleh percaya dan yakin dengan berbagai 'cerita rekaan' yang disampaikan oleh pemipin UMNO kepada mereka tanpa keraguan. Dan keadaan sedemikian bukan saja berlaku kepada golongan akar umbi UMNO peringkat kampung dan desa tetapi ada juga pemimpin UMNO peringkat bahagian di kawasan bandar yang tolong menyebarkan 'cerita rekaan' itu kepada pengikutnya. Dan pengikut mereka terus mengangguk tanda setuju.

Suasana sebegini amat membimbangkan. Bimbang dengan keadaan orang Melayu yang semacam tidak banyak berubah setelah setengah abad mencapai kemerdekaan. Seolah-olah orang Melayu ( yang diwakili oleh ahli UMNO misalnya) masih tidak mahu melakukan anjakan paradigma, dari keadaan yang dianggap kolot dan kuno kepada suatu keadaan yang boleh dapat memperlihatkan yang orang Melayu itu telah berubah.

Seingat aku semacam tidak banyak perubahan yang dapat dilihat jika dibandingkan zaman arwah emak aku menganggotai UMNO ( 1950an) dengan keadaan pemikiran ahli UMNO kini. Semenjak zaman berzaman mesyuarat UMNO peringkat cawangan atau bahagian adalah seperti pesta-pestaan memuji dan memuja 'pemimpin' yang disudahi dengan jamuan makan. Mungkin ada mesyuarat UMNO yang membincangkan isu-isu serious tentang kedudukan dan kelangsungan kehidupan bangsa Melayu, namun dapat dikatakan bahawa tidak banyak mesyuarat UMNO yang bersifat demikian.

Malah Persidangan Agung UMNO (PAU) yang diadakan di PWTC dapat memberikan gambaran bagaimana mesyuarat UMNO peringkat cawangan dan bahagian dijalankan. Aku tidak mengatakan bahawa PAU yang diadakan saban tahun di PWTC tidak langsung memberikan manfaat kepada perjuangan bangsa dan negara, tetapi aku merasakan bahawa stelah puluhan tahun PAU diadakan tentulah perlu mengadakan perubahan yang lebih besar dan drastik demi kelangsungan dan kemajuan bangsa Melayu.

Tentulah lebih banyak dan lebih bererti boleh dilakukan oleh ahli UMNO dalam usaha memajukan bangsa dan negara. Tentulah PAU boleh mengubah cara berfikir perwakilan yang hadir di persidangan berkenaan.

Aku terkejut dan terperanjat apabila mendapat tahu bahawa masih ada lagi mesyuarat UMNO peringkat bahagian dan cawangan yang masih mengikut 'format' mesyuarat tahun-tahun 1950an dan 1960an.

Seolah-olah ahli UMNO begitu 'malu' dan 'segan' untuk mengadakan perubahan ke arah sesuatu yang boleh mengubah kehidupan orang Melayu. Semacam tidak dapat diramalkan langsung bilakah akan ada perubahan dari segi cara berfikir ahli UMNO sedemikain.

Adalah dirasakan bahawa punca yang menyebabkan pemimpin dan ahli UMNO tidak melakukan perubahan ialah keengganan mereka untuk merapatkan diri dengan pembacaan. Agak tidak keterlaluan sekiranya aku mengatakan bahawa kebanyakan ahli UMNO kurang membaca. Lantas dengan sebab itu mereka agak 'renggang' dengan perkembangan ilmu yang meledak dalam zaman globalisasi ini.

Kebanyakan ahli UMNO hanya tahu 'meminjam' ucapan dan ungkapan sebagaimana yang dilafazakan oleh pemimpin mereka (yang juga kurang membaca). Lalu 'trend' kurang membaca ini berlanjutan daripada pemimpin peringkat kebangsaan kepada peringkat bahagian dan seterusnya ke peringkat cawangan.

Persoalannya ialah bagaimanalah para ahli UMNO peringkat akar umbi mampu untuk berfikir secara kritis sekiranya pemikiran mereka tidak sedikit pun 'dicanai' oleh bahan-bahan bacaan yang bermutu yang memboleh mereka bertindak secara rasional. Selama mana lagi agaknya keadaan sebegini akan berterusan.

Apakah orang Melayu akan terus dibangsatkan…..abuhassanadam 

Pemuda Umno Masih Hormat Muhyiddin - Khairy


Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN


Khairy (tiga dari kanan) pada Mesyuarat Exco Pemuda Umno pada Isnin. Foto:RAJA FAISAL HISHAN/The Star.
 
 
KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno masih menghormati Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun beliau telah disingkirkan daripada Kabinet.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata sayap parti itu menghormati Muhyiddin kerana beliau masih lagi memegang jawatan timbalan presiden dalam parti.

"Jawatan ini (timbalan presiden) tak boleh dilantik, ia jawatan yang dipilih.

"Kita mengakui dan masih menghormati Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden dalam Umno," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda Umno di sini, Isnin.

Beliau perkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat yang diadakan dan menjadi satu ketetapan yang dibuat oleh Pemuda Umno.

Khairy berkata demikian sebagai mengulas mengenai usul yang dibuat dalam Persidangan Perwakilan Gabungan Umno Keningau dan Pensiangan yang mahu mencalonkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan presiden Umno pada pemilihan akan datang.

Pencalonan Zahid itu dibuat sebagai tanda sokongan padu bahagian itu kepada beliau, sejajar dengan kedudukannya sebagai timbalan perdana menteri.

Dalam pada itu Khairy berkata bahawa beliau akan meminta pandangan Ketua Pemuda Umno negeri dan ahli Exco berhubung usul supaya pemilihan parti tidak ditangguh selepas mesyuarat perwakilan di peringkat bahagian selesai tidak lama lagi.

"Buat masa ini kita masih terikat dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk tangguh pemilihan selama 18 bulan.

"Memandang ada pandangan berbeza daripada yang ditetapkan, kita akan selesaikan dahulu persidangan perwakilan dan selepas itu kita akan lihat sejauh mana pandangan Pemuda akar umbi mengenai perkara ini dipegang dan kemudian baru kita buat satu lagi ketetapan," katanya.

Wednesday, August 19, 2015

Petanda Terbaru Putrajaya Bakal Melingkup



Petanda Terbaru Putrajaya Bakal Melingkup. Kepercayaan terhadap Putrajaya di Twitter amat rendah berikutan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata firma penyelidik media sosial tempatan, dan menambah apa juga kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau Putrajaya tidak berjaya menambah tarikan.
 
Hasil dapatan Politweet mengenai bagaimana skandal 1MDB digunakan hingga tercetusnya desakan Najib meletak jawatan kerana salah pengurusan syarikat pelaburan milik kerajaan itu dan kerana menerima RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadinya sebagai derma politik.
 
Maklumat salah mengenai 1MDB di Twitter kini sudah sampai ke peringkat di mana orang ramai masih berfikir RM2.6 bilion itu ada kaitan dengan 1MDB di sebalik fakta ia dinafikan oleh pihak berkuasa, kata firma itu.
 
“Salah maklumat sedia diterima sebagai kebenaran asalkan ia mengukuhkan kepercayaan sedia ada. Pengguna tanpa nama dianggap ada lebih kredibiliti berbanding agensi kerajaan.
“Kenyataan palsu yang tersebar di atas talian berjaya menjadi benar kerana penyokong Najib dan pembela 1MDB tidak ada capaian yang sama di Twitter.
 
“Pembetulan dan kenyataan penjelasan tidak sampai kepada khalayak massa, menyebabkan mereka terpengaruh dengan pengguna lebih popular,” kata Politweet dalam posting di blognya hari ini mengenai kajian persepsi terhadap 1MDB dan Najib.
 
Petanda Terbaru Putrajaya Bakal Melingkup
 
Syarikat itu juga memberi amaran tekanan terhadap media sosial, yang dicadangkan menteri Kabinet baharu, mungkin akan memberi kesan yang terhadap dalam membendung berita palsu, tetapi ia mungkin boleh memberi kesan buruk kepada Putrajaya jika ia mula mengganggu pengguna berpengaruh.
“Laporan polis boleh digunakan untuk akaun palsu seperti @BeritaTV3,” kata Politweet, merujuk kepada akaun Twitter yang terkenal kerana menyebarkan berita palsu di bawah penyamaran nama stesen televisyen popular TV3.
 
“Namun, cubaan untuk kawal media sosial atau ganggu pengguna berpengaruh nampaknya akan menyebabkan kesan negatif dan pengguna akan bertukar kepada rangkaian lebih privasi seperti Whasapp, Facebook,” kata Politweet.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak sebelum ini berkata Putrajaya akan bertemu dengan syarikat media sosial seperti Twitter dan Facebook untuk menyekat “maklumat palsu dan khabar angin”.

SAHAM FGV JATUH KE RM 1.38.

 


Kenyataan Media: DI MANA PERTANGGUNGJAWABAN KERAJAAN?

Persatuan ANAK Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) amat menyesali dengan sikap Kerajaan mengenai kedudukan kritikal FGV. Meskipun saham FGV berada pada tahap yang begitu rendah(RM1.38 hingga 18 Ogos)tiada sebarang kenyataan resmi dikeluarkan oleh Kerajaan untuk menanganinya. Apa pendirian Kerajaan pada waktu ini?

Sebaliknya, YAB Perdana Menteri dalam Majlis Jamuan Hari Raya Felda baru baru ini menyokong cadangan FGV untuk membeli 37% kepentingan dalam Syarikat Perladangan Indonesia, PT Eagle High Plantation yang bernilai RM2.37 bilion, harga yang begitu mahal berbanding harga pasaran. Saya sendiri mengetuai Ngo ANAK membuat lawatan kerja meninjau lokasi perladangan tersebut di Kalimantan dan banyak isu yang tidak selesai. Ia suatu pelaburan berisiko tinggi dan tidak berbaloi dalam konteks memberi nilai tambah terhadap FGV.Ia bukan sahaja tidak merangsang kedudukan FGV, sebaliknya kejatuhan berterusan saham FGV.

ANAK telah berusaha berbagai cara melalui pendekatan diplomasi dalam menangani isu FGV. Rombongan ANAK ke FGV yang sepatutnya mendapat taklimat resmi, tidak mendapat layanan yang sepatutnya. Memorandum ANAK kepada Bursa Malaysia tidak diketahui statusnya pada waktu ini.

Kebimbangan begitu dirasai mengenai kedudukan saham FGV di mana Felda, Felda Asset, Tabung Haji, KWSP, KPF dan KWAP mempunyai kepentingan saham yang amat besar. Kerugian ini di tanggung seluruh rakyat Malaysia!

Tanah Felda Plantation seluas 360 ribu hektar yang di pajak selama 99 tahun oleh FGV, apa akan berlaku jika sebarang kemungkinan lebih buruk melanda FGV?

Operasi anak2 syarikat di bawah FGV yang ada kaitan dengan peneroka, umpamanya kilang kelapa sawit(Palm Oil Industries) bagaimana keadaannya di masa hadapan?

Desakan ANAK agar Tan Sri Isa Samad, Dr Emir Mavani di pecat dan rombakan besar besaran di lakukan terhadap pengurusan FGV sebagai plan pemulihan; tiada sebarang respon dari Kerajaan.

ANAK memberi amaran, jika sikap berdiam diri@pekak badak Kerajaan berterusan, demonstrasi besar besaran di Menara Felda akan dilakukan!

Ini bukan ugutan, tapi sebagai isyarat atas pendirian Kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

' Menerajui Perubahan '

Mazlan Aliman
Presiden ANAK
19 Ogos 2015

Tun M: Penubuhan JKNMPP sia-sia


Menurut Dr Mahathir jawatankuasa berkenaan akan dibatal jika siasatannya membabitkan Najib.
Tun-Mahathir2
PETALING JAYA: Penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) dianggap sebagai sia-sia.
Pandangan itu dibuat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sama sekali menolak idea itu.
"Buat apa? sebelum ini juga mereka ada menubuhkan satu jawatankuasa tetapi dibatalkan.
"Kalau dia (Najib) disiasat, ianya turut akan dibatalkan. Jadi buat apa tubuhkan jawatankuasa ? ianya bukan soal jawatankuasa," katanya yang dipetik daripada portal peraktoday.com.my
Beliau berkata demikian selepas menghadiri forum "Social Evolution in Malaysia: What's Next?" di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar, Perak
Ia reaksi kepada cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk menubuhkan JKNMPP yang mengawal selia pembiayaan dana yang diterima parti politik.
Pelan tindakan pembiayaan politik berintegriti itu akan membuat pembaharuan dan penambahbaikan undang-undang dan seterusnya dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

PAS perlu presiden baharu

 

Oleh Ibnu Yusuf Al-Samari

Saya mohon mencadangkan sesuatu yang sangat drastik. Sebagai ahli biasa, ini adalah saluran terbaik yang saya ada untuk mengharapkan ianya didengari. Cadangan saya ialah agar PAS memulakan langkah menukar presiden sedia ada, YB. Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada pemimpin baharu yang lebih dinamik, terbuka, mesra dan berdaya saing dalam kepimpinan.

Sebaiknya daripada kalangan agamawan seperti ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man atau tokoh ekonomi seperti YB. Husam Musa atau tokoh muda seperti Saudara Salahuddin Ayub . Oh ya, YB Husam mungkin akan menyertai parti baharu yang mungkin dinamakan sebagai Parti Amanah Rakyat bersama-sama dengan Salahuddin Ayub. Jika begitu, sesiapa yang layak dan mampu menggantikan ketokohan mereka nanti, dialah yang saya fikir termasuk dalam senarai pendek presiden menanti.

Kenapa saya menyarankan pandangan ini? Asas saya tidak susah. Ianya merujuk kepada kegagalan ustaz Abdul Hadi bertindak menjaga parti daripada terdedah kepada perpecahan dan kelemahannya membiarkan kekaburan dalam matlamat jangka pendek parti serta strateginya. PAS masih seperti dilambung ombak. Nakhoda, walaupun seorang, jika gagal mengemudi bahtera, tiada makna kemudi di tangannya. Lepaskan sahaja kepada tangan lain.

Dalam suasana Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang lemah dan bagi saya paling lemah sepanjang 20 tahun kegemilangan parti, kekeringan  tokoh ekonomi dan strategis serta kecelaruan pemikiran politik dan organisasi yang tiada sekata antara ahli dan pimpinan,  PAS perlu disuntik dengan dos yang tinggi, dari atas. Presiden baharu perlu menyusun semula organisasi parti secara betul. Jauhkan puncak pentadbiran daripada dikuasai sekelompok kecil pemuda berkelulusan Timur Tengah yang gagal memandu parti bergerak betul. Kembalikan sokongan anak muda kepada parti melalui keterampilan presiden baharu mesra pemuda dan golongan generasi Y. Jangan bina tembok pemisah antara parti, tanzim, ahli dengan masyarakat awam biasa yang langsung tidak mengenali apa itu tanzim dan jamaah.

Jika PAS adalah platform perjuangan Islam sebenar, mata rantai perjuangan Rasulullah saw, dan bukannya  tokoh tertentu sebagai platform kekal, maka lepaskan ustaz Abdul Hadi daripada jawatannya sekarang dan bantulah beliau bertindak selaku Mursyidul Am parti dan tokoh gerakan Islam seluruh dunia.

Jika PAS mahu dibiarkan kepada beberapa orang bekas pelajar Timur Tengah mengemudinya, menentukan hala tujunya, atas sangkaan kononnya mereka adalah kumpulan ulama yang mengetahui segalanya, mendapat keberkatan dan dekat dengan Allah, maka jangan nanti terkejut masyarakat berpusu-pusu menyertai parti baharu berlandaskan perjuangan Islam gaya baharu.

Kita menggunakan khidmat ustaz Abdul Hadi kerana kehebatan ilmu dan pidatonya. Tiada siapa boleh menafikannya. Tetapi percayalah, akhirnya ilmu itu akan sampai masanya ia tidak lagi berkembang, sebaliknya mendatar dengan pengulangan fakta dan info yang diketahui sekian lama.
Percayalah juga, akhirnya seorang pemimpin yang paling baik untuk mengemudi bahtera bergoncang ini ialah yang mahir memimpin, mengurus dan mentadbir organisasi dan rakyat. Tidak berguna sokongan padu keliling pinggang jika pemimpin itu sendiri gagal menguasai parti dan melakukan reformasi dalaman demi pengukuhannya.

Terima kasih ustaz Abdul Hadi atas jasa dan pengorbanan. Kepimpinan dan lautan ilmu. Moga Allah merahmati Tuan Guru dan sentiasa dirahmati dalam perjuangan ini. Ustaz Tuan Ibrahim, kami belum nampak tokoh lain lebih baik bagi menjadi pengganti. Masuklah ke pejabat baharu dengan penuh keterampilan dan bijaksana, secepat mungkin.

Jika tuan sayang kepada Tuan Guru, ketahuilah, parti lebih memerlukan kasih dan sayang tuan selaku presiden bernafas baharu.

Jangan berlengah lagi

Pelbagai kejutan dalam Nunji 2015

 

OLEH XIFU NASER
SALAH satu ciri seorang pendakwah adalah umpama seorang restaurant critic (penilai restoran). Kita tidak taksub kepada mana-mana restoran, mana-mana menu. Amanah kita ialah kita cuba pelbagai restoran dan menu untuk menilai sejauh mana makanannya halalan dan tayyiban (berkhasiat).

"Gua mau pegi NUNJI 2015 lah? Itu GHB mau buat menu Nadwah al-‘Ulama Lin-Nahdah al-Jadidah," saya zahirkan niat saya.

"Xifu, ini konvensyen hanyalah propaganda sebuah parti politiklaah. Mesti promosi partinya dan mindset monokultural: masuk Islam, masuk Melayu!" sahabat Cina Muslim tidak setuju dengan niat saya.

Tiada seorang pun aktivis Cina Muslim yang mahu hadir! Tiada manfaat pun bagi seorang Cina Muslim kerana dia dah jemu dengan wacana Melayu-Islam.

Kita faham kalau Ulama Muda Umno hanya terdiri daripada pemikir Melayu sahaja kerana amanah Umno ialah membela Melayu. Tetapi yang regresifnya ialah apabila Pas yang memperjuangkan Islam For All meniru Umno kerana tiada seorang pun ulama atau tokoh pendakwah Cina Muslim dalam Majlis Syura Ulama Pas. Pas adalah parti yang bermindset Tuan Melayu juga, tetapi dibalut jenama ‘Islam’.

Tiada pun pelan Pas yang serius sejak 57 tahun lalu untuk melahirkan ulama Cina Muslim. Perspektif Cina Muslim hanya kasta bawahan walaupun Cina mempunyai saham terbesar dalam menjaga maslahat ekonomi Malaysia.

Yang kita belajar daripada Pas masa kini ialah ‘Lu barua’, ‘Lu kafir harbi’, ‘Lu pengkhianat’, ‘Lu murtad jemaah’, ‘Lu dengar, gua cakap’, ‘Lu mau hudud siku dan lutut kah’, ‘Lu pi talak isterilah!’

Ugutan, ancaman, hinaan bertubi-tubi dari sebuah parti yang menggelarkan dirinya ‘Jemaah Islam’. Dr Mujahid, Pengarah NUNJI berkata, ‘Islam itu ramah-ramah, bukan marah-marah’!

Maka, saya hadir sebagai restaurant critic atas jemputan Haji Kamal Koh, aktivis GHB. Di NUNJI, saya dikejutkan oleh mukadimah Dr Mujahid bahawa wacana kafir harbi / kafir dzimmi sudah tak realistik lagi.

Katanya, kita perlu Fiqh Malizi yang mengambil berat realiti multikultural dalam konteks Malaysia. Konsep ‘ummah’ perlu inklusif pelbagai budaya, bukan eksklusif untuk Muslim sahaja.

Dikejutkan juga oleh Dr Siddiq Fadhil yang mengusulkan bahawa fiqh perlu peka kaum. Mungkin sesuatu adalah halal bagi satu kaum tetapi haram bagi kaum yang lain seperti wujudnya madrasah ahli ra’yi dan ahli hadis.

Terkejut lagi apabila Mufti Pulau Pinang, SS Datuk Dr Wan Salim mengusulkan perlunya memudahkan Fiqh [taisir al-fiqh] untuk hadapi konteks masyarakat multikultural, bukan memberatkan mahupun meringankan.

Ustaz Ahmad Awang berjubah seperti seorang ulama konservatif. Tetapi wacana beliau tidak menakut-nakutkan dengan aspek Shari’ah-legalisma seperti hudud tetapi memprioritaskan imej Islam sebagai Rahmah Lil-‘aalamiin.

Syeikh Ferjani, aktivis politik Tunisia menekan bahawa melaksanakan hudud umpama berwuduk. Kalau kondisi-kondisi sosial tidak sesuai, jangan terburu-buru melaksanakan hudud. Bertayamumlah! Tetapi setiap orang Islam wajib menjaga maslahat negaranya. Berpolitik untuk menang khidmat, bukan menang kuasa.

Dr Maszlee pula mensyarahkan hadis bahawa Nabi SAW mengiktiraf sebarang ‘khair’ (kebaikan) walaupun Nabi tidak pernah sebut tentangnya. Kebaikan bersifat universal.

Bagi saya sebagai restaurant critic, apa yang ‘unsangkarable’ di NUNJI ialah saya tidak nampak taksub promosi parti. Ia mengetengahkan Islam, bukan parti, sebagai agenda utama.

Lagi ‘unsangkarable’ bagi saya ialah ulama-ulama Melayu di NUNJI berusaha keluar dari zon selesa monokultural. Mindset Melayu yang menganggap Islam sebagai hak milik Melayu adalah satu warisan psikologi yang sukar direntas. NUNJI adalah ‘restoran’ baharu yang ajak kita rasa menu multikultural yang halal.

Bagi mereka yang selama ini hanya rasa satu jenis menu masakan, maka mereka mungkin terbuka selera di NUNJI untuk cuba masakan budaya lain pula. Saya berharap NUNJI juga akan mengajak tokoh Cina Muslim pula untuk memberi syarahan utama tentang hala tuju wacana Islam.

Tokoh Melayu di NUNJI bukan sekadar bermindset Melayu, tetapi mereka berusaha memakai topi mindset Cina, India, Dayak, Kadazan untuk menghasilkan wacana Fiqh Maliziang pragmatis beyond politico-cultural partisanship dalam konteks Malaysia. Ini langkah pertama yang luar biasa.

Saya akan pergi lagi untuk makan!