Monday, October 29, 2018

40 MP tinggalkan Umno cubaan hapus legasi Zahid, Najib


40 MP tinggalkan Umno cubaan hapus legasi Zahid, Najib
Keratan laporan Sinar Harian hari ini.
(Ubah saiz teks) 
 
KUALA LUMPUR -  Ura-ura 40 ahli Parlimen Umno akan meninggalkan parti dan menyertai Bersatu dianggap sebagai separuh benar," kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam.

Menurutnya, gerakan meninggalkan Umno ini antara lain bertujuan menghapuskan legasi kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas pendahulunya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A Kadir Jasin berkenaan penghijrahan 40 ahli Parlimen Umno ini boleh dikatakan sebagai separuh benar.

"Saya amat bersedih dengan perkembangan yang berlaku ini. Mereka sanggup keluar untukk selamatkan diri daripada tindakan undang-undang dengan mengorbankan Zahid dan Najib yang banyak berjasa kepada mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Dengan kesal, Lokman menyifatkan tindakan ahli -ahli Parlimen ini sangat mementingkan diri  tanpa memikirkan jerih payah akar umbi yang berusaha  mengukuhkan semula Umno.

"Kelompok yang terdesak ini sekali lagi mewujudkan perpecahan dalaman parti yang dahsyat.

"Memang ada pertemuan sulit  dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ataupun wakilnya tetapi mereka ada perjanjian yang meletakkan syarat untuk keluar beramai-ramai bukan sedikit demi sedikit agar agenda kerjasama antara Dr Mahathir dan ahli Parlimen Umno dapat diwujudkan," dedahnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah pula hanya berkata, tokoh wartawan veteran itu bebas berkata apa sahaja.

Hari ini, dilaporkan kira-kira 40 ahli Parlimen daripada Umno dikatakan akan keluar parti dan menyertai Bersatu.

 A Kadir berkata, mereka sudah pun beberapa kali berjumpa Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan tertinggi parti secara berkumpulan atau perseorangan membincangkan perkara itu.

Anggaran gay 310,000 orang belum muktamad - Pegawai Jakim


   
Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti Jakim Dr Mohd Izwan Md Yusof menjelaskan kenyataannya sebelum ini mengenai anggaran 310,000 populasi gay di negara ini.
Beliau berkata anggaran berkenaan masih belum muktamad lagi.

"Merujuk kepada kenyataan saya semalam (29 Oktober) berkenaan anggaran populasi gay di negara ini seramai 310,000, adalah angka yang masih prelim iaitu belum muktamad oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebagaimana yang dipetik," katanya dalam suatu kenyataan.

Mohd Izwan berkata seseorang yang dilabel gay tidak semestinya telah melakukan hubungan sejenis sama ada homoseksual atau liwat.
"Gay menurut definisi oleh Blanch Consulting, adalah seorang lelaki yang memiliki ketertarikan sesama jenis dari sudut seksual, romantik dan fizikal.

"Sehubungan itu, seseorang yang dilabel gay, tidak semestinya telah melakukan hubungan sesama jenis sama ada homoseksual atau liwat.
"Golongan ini baru dianggap memiliki same sex attraction iaitu ketertarikan sesama jenis," maklum beliau.

Intervensi kerohanian
Menurutnya lagi, Jakim komited melakukan bimbingan terhadap komuniti dan menyeru masyarakat mengukuhkan institusi kekeluargaan.

"Justeru, Jakim komited untuk terus melakukan usaha penerangan dan bimbingan melalui seminar dan program Mukhayyam dalam memberikan intervensi kerohanian kepada komuniti LGBT yang ingin mendapatkan bimbingan," katanya.

Dalam suatu seminar berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Pulau Pinang, Izwan dilaporkan berkata golongan gay semakin ramai.
“Saya baru-baru ini tanya pegawai jabatan kesihatan untuk statistik 2018.

 Komuniti gay kini dianggarkan seramai 310,000.
“Angka ini sedang meningkat. Ini angka untuk gay.
“Angka bagi lesbian pula lebih sukar dijangkakan,” katanya.
Semalam Menteri Agama Datuk Seri Mujahid Yusof berkata jumlah 310,000 gay yang dikenal pasti perlu diperhalusi lagi kerana tidak semua daripada mereka terus terlibat dengan “kegiatan songsang.
Malaysiakini

RM2.6b: Saifuddin pertahan kenyataan


RM2.6b: Saifuddin pertahan kenyataan
Kenyataan Saifuddin berhubung derma RM 2.6 bilion.
(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR - Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mempertahankan kenyataannya kelmarin berhubung derma RM 2.6 bilion.
Beliau menegaskan kenyataan itu selari dengan diperkatakan Menteri Luar Arab Saudi, Adel Ahmed Al-Jubeir kepadanya dalam dua pertemuan baru-baru ini.

“Saya menyatakan seadanya. Apa dia (Adel) nak kata selepas ini terserahlah padanya. Dia kata begitu kepada saya semasa di New York (September 2018) dan di Putrajaya (Jumaat lalu). Dan dia kata sedia beri kerjasama dalam penyiasatan berkaitan duit tersebut,” katanya menjawab pertanyaan pengikutnya di Twitter, semalam.

Sebelumnya, beliau ditanyakan soal sekeping gambar yang mendakwa Adel menafikan ditanya tentang wang RM2.6 bilion oleh mana-mana wakil kerajaan Malaysia.

Kelmarin, Saifuddin memberitahu derma RM2.6 bilion yang didakwa diterima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Derma RM2.6 bilion tiada kaitan dengan Arab Saudi]
Kenyataan itu jelas berbeza dengan beberapa kenyataan Adel sebelum ini termasuk ketika mengadakan pertemuan dua hala dengan Najib di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di Istanbul pada 14 April 2016.
Memetik laporan Bernama, Adel akui sedar tentang derma tersebut dan pihaknya tidak mengharapkan sebarang balasan.

“Kami sedar tentang derma itu dan ia memang benar-benar sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
“Dan kami juga sedar bahawa Peguam Negara Malaysia telah menjalankan siasatan teliti mengenai perkara itu dan mendapati tiada salah laku. Justeru, setahu kami, isu itu ditutup," katanya kepada wartawan Malaysia.

Memetik laporan New York Times pada 5 Februari 2016,  Adel pula berkata beliau tidak fikir wang itu datang dari Kerajaan Arab Saudi atau ia derma politik.
“Saya percaya wang itu untuk tujuan pelaburan di Malaysia,” katanya.
Najib melalui catatan di Facebook Jumaat lalu iaitu beberapa jam selepas kenyataan Saifuddin menegaskan telah mengemukakan bukti derma dari Arab Saudi.

“Di hantaran itu, saya turut menunjukkan bukti dokumen-dokumen dari bank yang membuktikan bahawa kebanyakan dana-dana yang disalurkan kepada akaun saya ialah terus dari Kementerian Kewangan Kerajaan Arab Saudi dan dari putera-putera Arab Saudi.

“Hampir semua dana yang disebut RM2.6 bilion ini sudah dikembalikan kepada sumber yang menyalurkan 4 bulan selepas diterima. Saya pun telah didakwa kerana menerima dana ini dan juga didakwa kerana mengembalikannya,” tulisnya.
Sinar Harian

PH dinasihati tidak ulangi kesilapan Umno-BN


PH dinasihati tidak ulangi kesilapan Umno-BN
iklan penaja : PUSAT JUALAN TONE EXCEL www.tonenilai3.com
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil menasihatkan semua pimpinan pemuda AMANAH dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak mengulangi kesilapan besar yang telah dibuat oleh Umno dan BN semasa pemerintahan mereka sebelum ini.
Malah katanya lagi, mengulangi amalan rasuah yang sama sepertimana yang menjadi praktik dalam Umno dan BN akan mengundang kemarahan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Pemuda AMANAH Negeri Kedah yang telah diadakan di Sungei Petani, semalam.
Faiz bersama pimpinan Pemuda AMANAH Negeri kedah semalam.
“Kita jangan ulangi segala kekhilafan yang telah dibuat semasa pemerintahan Umno dan BN sehingga mereka ditolak oleh rakyat walaupun memerintah begitu lama.
“Rakyat kini sudah bijak dan matang serta dapat membezakan mana satu yang melibatkan korupsi maupun kronisme.
“Oleh kerana itu kita tidak mahu pejuang dan pimpinan AMANAH dinodai dengan unsur-unsur buruk tersebut setelah berjaya mendapat kepercayaan rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu, ” jelasnya lagi.
Menurut Faiz lagi, tempoh tiga tahun yang telah ditempuh dengan pelbagai ranjau, onak dan duri melonjakkan semangat juang sehingga mampu menobatkan AMANAH seganding dengan komponen PH yang lain.
“Pemuda AMANAH sebagai pemangkin perjuangan, perlu mempunyai iltizam, idea, kekuatan dan faham konteks pentadbiran serta pemerintahan.
“Sebagai sebuah kerajaan, cabaran yang akan dihadapi amat besar serta memerlukan komitmen yang tinggi dalam memperjuangkan aspirasi parti yang didokong bersama-sama dalam PH.
“Penambahan ahli, cawangan dan juga kawasan perlu dilipatgandakan usaha kearah peningkatan tersebut secara serius, ” tegas Faiz lagi.
Katanya, kemenangan yang telah diperolehi dalam PRU yang lalu, tidak harus diterima dengan rasa bangga dan megah.
Sebaliknya kata beliau, sikap terbuka juga mesti ada untuk menerima penyertaan ahli Umno dan Pas yang ingin menyertai AMANAH.
“Islam bukan ekslusif untuk satu pihak atau golongan sahaja, ia adalah untuk semua.
“Sehubungan itu kita harus berusaha bagi memberi kefahaman mengenai Islam kepada semua golongan masyarakat termasuk yang bukan Islam dalam negara ini.
“Maka itu gerak kerja turun padang sehingga ke akar umbi mesti menjadi agenda yang mampu untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa AMANAH berperanan untuk menjadi pentadbir yang lebih baik jika dibandingkan dengan Umno dan BN, ” tambahnya lagi.
mdl

Kelantan Menarik Pelaburan Bernilai RM2.4 Billion



Harakah | Sehingga Oktober tahun ini Kelantan berjaya menarik pelaburan bernilai RM2.4 bilion, kata anggota Exco kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Dato’ Hanifa Ahmad berkata, pelaburan tersebut termasuk :

  • Projek penanaman sayur di Gua Musang melibatkan kos RM40 juta, 
  • Projek hidro elektrik di Gua Musang (RM106 juta), 
  • Projek hidro di Kuala Krai (RM70 juta).

Selain itu projek pembangunan bandar di kawasan lebih 100 ekar di Mukim Panchor, Panchor melibatkan pelaburan RM1.74 bilion.

Manakala misi pelaburan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jepun tahun lepas juga mempunyai perkembangan positif apabila ada pelabur dari negara terbabit datang meninjau peluang pelaburan di Kelantan.

Katanya, misi pelaburan terbabit diketuai Pemangka Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Ibni Sultan Ismail Petra.

“Syarikat dari negara terbabit datang meninjau potensi pelaburan di Kelantan. Dua syarikat berminat projek penanaman bunga iklim sejuk di Tanah Tinggi Lojing.
“Ada juga syarikat berminat untuk mengusahakan tanaman cendawan putih di Pasir Mas,” katanya ketika menjawab soalan Adenan Hasan (PAS-Kelaboran) pada persidangan Dun hari ini.

Menjawab soalan tambahan Mohd Shahbuddin Hashim (BN-Galas) katanya kerajaan negeri merangka pelbagai insentif bagi menarik pelabur ke Kelantan

Baru Percaya Pendidikan Hampir Percuma



NajibRazak | "Hampir" Percuma.

Dulu kata kerajaan BN zalim terhadap anak muda. Pendidikan dilaungkan sepatutnya percuma, PTPTN patut dihapuskan.

Malah turut diumumkan sebagai janji mereka untuk mengatasi inisiatif Transformasi Nasional 2050 (TN50) kerajaan BN yang begitu meluas dan terancang.

Malangnya, apabila ditanya mengenai janji mereka di Dewan Rakyat petang ini, Menteri Pendidikan menjawab bahawa tiada rancangan untuk pendidikan percuma kerana pendidikan sudah hampir percuma.

“Pendidikan peringkat rendah dan menengah kerajaan adalah percuma. Pengajian tinggi juga hampir percuma yang mana pelajar hanya perlu membayar 10% daripada kos operasi. Kos 10% itu juga ditanggung kerajaan menerusi biasiswa dan secara tidak langsung menerusi PTPTN. Pembayaran balik juga boleh dirunding mengikut kemampuan peminjam.” kata Menteri PH ini.

Bukankah itu yang kerajaan BN dahulu melakukan juga? Pendidikan rendah dan menengah juga percuma sekarang kerana kerajaan BN yang mansuhkan semua bentuk bayaran dan yuran bermula tahun 2012.

Bak kata orang lencun terus, mereka yang sebelum ini berharapan apabila mendengar jawapan rasmi Menteri Pendidikan PH hari ini mengenai janji-janji dan hasutan PH dahulu.

Tuesday, October 16, 2018

PAS sedia anjur demonstrasi bantah ‘Oktoberfest’ jika gugat kepentingan awam, kata Takiyuddin




DETIK OFFLINE




KUALA LUMPUR: PAS berkata parti itu tidak akan teragak-menganjurkan demonstrasi bagi membantah penganjuran pesta arak “Oktorberfest 2018″ sekiranya ia menimbulkan ketegangan dan menceroboh kepentingan masyarakat awam.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata Oktoberfest tidak sepatutnya menjadi program umum kerana ia melibatkan sensitiviti agama, budaya dan pandangan kelompok masyarakat yang berbeza.

“Kalau sekiranya pesta seumpama ini dibuat dalam kelompok terkawal, tidak melibatkan orang lain, saya kira ia boleh dibincangkan.

“Contohnya larangan merokok, ia diletakkan di tempat khusus, arak pun sepatutnya begitu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.



“Kalau program itu boleh timbulkan rasa kurang menyenangkan dan boleh pula menimbulkan ketegangan dalam masyarakat, maka sewajarnyalah ia dibantah.

“Mungkin kalau sampai peringkat perlukan demostrasi, kita akan berdemonstrasi,” katanya.

Pada 9 Oktober lalu Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, pesta arak “Oktorberfest 2018″ boleh dianjurkan jika pihak penganjur membuat permohonan mendapatkan permit dan mematuhi kesemua garis panduan yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata, antara garis panduan yang perlu dipatuhi penganjur ialah orang Islam tidak dibenarkan terlibat dan acara itu tidak dijalankan di tempat terbuka.

Takiyuddin berkata, kerajaan negeri Kelantan misalnya hanya melarang perniagaan judi, tetapi arak untuk orang bukan Islam tidak dihalang.

“Bagi PAS, itu hak bukan Islam, dan dalam ruang lingkup terkawal ia tak ada masalah.

“Perkara ini boleh dilakukan dengan syarat ia tidak melibatkan pencerobohan ke atas kepentingan orang lain. Kalau boleh dikawal, dalam keadaan apapun boleh dibenarkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Presiden PAS Datuk Seri Abd Hadi Awang berkata parti itu gembira dengan keputusan pilihan raya kecil (PRK) di Port Dickson Sabtu lepas yang menyaksikan calonya mendapat undi lebih tinggi berbanding pencapaian dalam pilihan raya umum 9 Mei.

“Dapat undi lebih 7,000 dalam keadaan kita bersendirian, satu parti sahaja, dan bertanding 7 penjuru. Walaupun banyak penjuru, tetapi undi meningkat.

“Apa yang penting ialah kita perlu dibuat ‘postmortem’. Kita akan buat seawal yang mungkin, jadi boleh tahu undi kita pada masa akan datang. Kita ada jentera di Port Dickson,” katanya.

Dalam pilihan raya kecil Port Dickson Sabtu lalu ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mewakili Pakatan Harapan memperoleh 31,016 undi mengalahkan pesaing terdekatnya daripada PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar yang mendapat 7,456 undi.

Lima calon Bebas lain masing-masing hilang wang pertaruhan, termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abd Samad dan bekas pembantu beliau Mohammad Saiful Bukhari Azlan.

ANWAR AKAN PANGGIL RAFIZI



Wartawan Watan-Online





Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memanggil Rafizi Ramli berhubung dakwaannya mengenai wujud politik wang dalam pemilihan PKR.

Ketika ditemui media di lobi Parlimen, pada Selasa, bakal Presiden PKR itu mahu mendapatkan maklumat daripada Rafizi yang juga calon Timbalan Presiden.

Anwar berkata, beliau juga akan membawa perkara itu dalam mesyuarat biro politik malam ini.

“Kita akan tanya beliau (Rafizi) maklumat (dakwaan politik wang) terlebih dahulu.

“Malam ini saya akan bawa perkara ini dalam mesyuarat biro politik PKR,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Rafizi yang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti kali ini, mendakwa politik wang berlaku secara berleluasa di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan.

Beliau yang merujuk pihak bertanggungjawab sebagai ‘sebelah sana’ mendakwa, suasana politik wang itu tidak pernah dilihat dalam PKR sebelum ini.

Dakwanya, terdapat cabang yang menerima sogokan dalam bentuk sumbangan sebanyak RM100,000 dan RM200,000 untuk berdepan saudara-saudara dalam saingan di peringkat cabang.

Rafizi mendakwa, ahli PKR yang mudah terpengaruh adalah golongan muda yang tidak melalui zaman sukar parti itu dan pihak yang menggunakan wang juga biasanya ‘orang muda’ yang datang dengan poket penuh dan tebal.

Rahsia jadi kaya cara Pak Man Telo






Oleh A Kadir Jasin




Banyak rakyat Malaysia suka kaya cepat. Kerana hendak kaya cepat punya pasal ada yang jadi papa-kedana. Padan muka.

Masa saya menunaikan haji tahun 1991 (tahun Perang Teluk), ada seorang rakan jemaah yang gundah-gulana. Dia baru kehilangan duit pencen guru dalam skim cepat kaya Pak Man Telo.
Sejak itu berpuluh-puluh skim ala Pak Man Telo muncul, beratus ribu jadi mangsa dan berbilion ringgit hangus.

Macam kata ungkapan Inggeris “fools never learn”. Dalam bahasa Melayu si bangang tidak pernah belajar.

Jadi kali ini saya nak ajar si bangang dan si tamak macam mana nak buat skim Pak Man Telo yang gerenti tak rugi. Sebaliknya untung besar.

Salah satunya ialah skim ala Jho Low. Tapi itu pun tak berapa bagus sebab akhirnya terbongkar dan penajanya kena tangkap, dihadapkan ke mahkamah dan besar kemungkinan meringkuk dalam penjara untuk satu jangka masa yang panjang.

Ramai lagi yang belum ditangkap, termasuk Jho Low, tetapi menunggu masa untuk digari dan dipakaikan kemeja-T oren Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Cuma saya masih tidak faham pasal apa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, dikecualikan daripada memakai pakaian lokap itu? Nampaknya dacing keadilan masih berat sebelah.



Skim cepat kaya yang hendak saya cadang ini sesiapa pun boleh cuba. Acuannya saya ambil daripada zaman BN. Pada zaman itu, kalau seseorang itu orang kuat Umno serta baik dengan Najib dan Rosmah mudahlah buat skim ini. Lagi-lagilah kalau orang itu “blue blood”.

Caranya

Mula-mula cari projek apa yang hendak ‘dipakmantelokan’. Boleh jadi projek lebuh raya tol, landasan kereta api kembar atau penjana elektrik bebas (IPP).

Pasal kita kawan Najib atau sebab Najib nak guna kita, kita pun dapatlah konsesi. Katakan sebuah IPP dengan kapasiti penjanaan 1,440 megawatt menggunakan gas asli dan tempoh konsesi 31 tahun.

Dengan sehelai kertas yang mengesahkan bahawa kita mendapat konsesi IPP daripada Suruhanjaya Tenaga, kita sudah jadi jutawan. Tak tahu apa-apa tentang IPP pun tak apa. Gerenti ada orang bersedia beli lesen kita itu dan bank pula sedia bagi pinjam.

Untuk nak dapat konsesi, kita tentu dah ada syarikat. Katalah mana syarikat kita Sip Sap Sdn Bhd (SSSB). Nak lagi mudah, kita beli saja dari orang yang kerjanya tubuh dan jual syarikat RM2.
Tak payah besar. Modal saham RM2 dengan dua orang pengarah dan modal berbayar RM100,000 atau RM200,000 dah cukup.

Kalau tak mahu nama kita keluar pasal kita tidak dibenarkan berniaga atau kerana kedudukan kita yang tinggi lagi mulia, kita carilah proksi atau wakil.



Tak kiralah orang itu Ratu, Nyai, Daing atau Megat asalkan boleh dipercayai. Kalau hendak proksi Cina atau India pun boleh. Tapi proksi Cina dan India ni kadang-kadang mereka lebih pandai daripada kita. Silap-silap mereka jual kita.

Tapi untuk laksanakan IPP yang berharga empat atau lima bilion ringgit, kita kenalah tubuh syarikat yang lebih besar. Lagi pun kita tak mahu kongsi syarikat sendirian berhad kita dengan orang luar takut pecah rahsia.

Jadi kita tubuhlah SPV (special purpose vehicle). Kita bagilah nama yang sedap-sedap dan meyakinkan macam Aurora Australis Sdn Bbd (AASB) - mengambil sempena cahaya malam di
kutub selatan. Aurora Australis ertinya cahaya selatan atau dalam bahasa orang putih, southern light.

Nak buat sendiri tak ada duit atau kita jenis kedekut yang memang tidak suka guna duit sendiri. Jadi kita carilah “business partner” (rakan kongsi) yang ada duit atau ada nama yang laku digadai macam TNB, Malakoff atau YTL.

Kita hutang la

Dalam perusahaan elektrik ni siapa lagi yang lebih berkuasa dan laku daripada TNB. Jadi kita pun tanya TNB atau kita minta kawan kita yang berkuasa arah TNB jadi rakan kongsi kita.
Cantik! Rakan kongsi kita TNB. TNB ada duit dan ada nama. Bila penjana kita siap, TNB jugalah yang akan beli tenaga yang kita hasilkan.

Kita pun kongsilah. Katalah kita simpan 45 peratus saham kita dalam AASB dan jual 55 peratus kepada TNB. Tak susah pun. Carilah budak-budak yang pandai hal perancangan dan pembiayaan korporat untuk buat congak bagi pihak kita.



Gerenti mereka akan cadang macam-macam kaedah pembayaran dan pembiayaan – ordinary shares, class A shares, RPS, Sukuk konvensional, Sukuk hijau, junior loan, senior loan.

Macam-macam mereka akan cadangkan asalkan kita bagi mereka komisen yanag lumayan. Macam 1MDB bagi kepada Goldman Sachs.

Kita tak payah keluar modal pun. Orang putih kata kita buat cara “debt financing” – pembiayaan melalui hutang. Kita hutang la. Macam Najib buat dengan 1MDB.

Bila semua perjanjian, kontrak dan pinjaman sudah ditandatangani, kita pun kata kepada AASB mereka kenalah bayar yuran pembangunan kepada kita (SSSB). Busuk-busuk pun seratus atau dua ratus juta ringgit.

Hebat. Penjana belum lagi dibina tapi seratus, dua ratus juta dah masuk poket. Kita relaks saja la. Biar TNB buat kerja. Bukankah TNB ni kaya dan ada kepakaran?

Kita nak susah hati apa? TNB dah tandatangan PPA untuk beli hasil kilang kita selama 21 tahun. Bulan-bulan berjuta-juta ringgit masuk. Empat puluh lima peratus milik kita. Bila kompeni bayar dividen kita dapat lagi.

Inilah skim cepat kaya Pak Man Telo yang kita mahu. Ada lesen, ada konsesi, ada PPA. Tak payah curi-curi. Kalau curi pun ikut undang-undang. Peduli apa kalau pengguna kena bayar tarif elektrik yang lebih tinggi atau kita ambil peluang orang lain berniaga.

Kita kaya. Kita berkuasa. Kita tongkat langit. Kita peduli apa.

*DATUK A KADIR JASIN ialah penasihat media dan komunikasi di Jabatan Perdana Menteri. Beliau bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd dan kini bergiat dalam BERSATU sebagai pimpinan pusat parti itu.