Wednesday, September 2, 2015

Tindakan polis memanggil penganjur perhimpunan Bersih 4 adalah tidak perlu, kata Nazri Aziz

 



KUALA LUMPUR, 2 Sept - Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz yang juga bekas menteri undang-undang menganggap tindakan polis memanggil penganjur perhimpunan Bersih 4 hujung minggu lalu ke Bukit Aman untuk disoal siasat adalah sebagai tindakan tidak perlu.

Akta Perhimpunan Aman 2012 yang dibuat diperbolehkan untuk perhimpunan itu berlangsung dengan syarat ia dilakukan secara aman dan tanpa kekerasan.

 "Ia dilihat sebagai aman, dan kini ia telah berakhir. Kita sudah ada undang-undang yang mengawal demonstrasi secara aman, dan ini telah diterima dan diluluskan oleh Parlimen," katanya kepada Malaysian Insider dalam temu bual petang semalam.

 "Jika mereka mahu untuk meluahkan pendapat mereka secara aman, silakan. Terdapat undang-undang yang berurusan dengan  mengenainya.

 "Saya salah seorang penyokong kebebasan bersuara di negara ini, dengan syarat anda terus di sebelah kanan undang-undang," kata Nazri.

 Ahli parlimen Umno itu berkata, perhimpunan Bersih aman menunjukkan bahawa Barisan Nasional (BN) menghormati konsep demokrasi dan juga membenarkan perbezaan pendapat.

 Nazri juga menafikan dakwaan bahawa perhimpunan tersebut telah dihadiri oleh majoriti orang bukan Melayu, dengan mengatakan bahawa dia percaya bahawa bangsa bukan satu isu dalam perhimpunan hujung minggu tersebut.

 "Tiada apa mengenai perkauman, ia hanya mengenai isu, hanya mengeluarkan pendapat tentang sesuatu.

 "Malah saya rasa dengan memakai kuning ia menunjukkan 80,000 orang yang mengambil bahagian menghormati royalti, kuning adalah lambang royalti," kata Nazri dengan tersengeh. 

Difahamkan, polis akan menyoal tujuh individu dari kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 perhimpunan hujung minggu lalu lewat hari ini.

 Anggota sekretariat Bersih 2.0, Mandeep Singh Karpall mengesahkan bahawa kesemua tujuh telah dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu dalam siasatan polis di perhimpunan hujung minggu secara haram. sumber

Berita Gempar Dari KDN..


 
Berita Gempar Dari KDN.Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan keputusan kepada pihak polis sama ada mahu mengambil tindakan terhadap mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyertai Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos lalu.
 
Timbalan Menteri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, meskipun perhimpunan 34 jam itu berlangsung dengan aman, namun ia tetap perhimpunan yang haram susulan pengisytiharan pihak berkuasa yang dibuat sebelum itu.
"Terserah pada polislah," katanya kepada wartawan selepas menghadiri taklimat di Pusat Perkhidmatan Modal Insan Ekspatariat Malaysia (Pusat Myxpats) di Petaling Jaya hari ini.
 
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu turut menyerahkan kepada majlis tersebut sekiranya mahu mengenakan tindakan ke atas bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu.
 
"Terserah kepada MT Umno. Susah nak cakap dengan pemimpin lama Umno supaya ikut peredaran zaman. Zaman dah berubah, Tun M pun patut sedarlah hal ini," katanya.
 
Namun, Jazlan berkata beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan tindakan Dr Mahathir yang menyertai Bersih 4 itu.
 
 
 
Bagaimanapun, beliau menyifatkan polis berjaya mengawal perhimpunan itu, yang dianggarkan melibatkan ratusan ribu orang, supaya ia berlangsung dengan aman.
 
Berita Gempar Dari KDN
 
"Yang penting, pihak polis menguruskan perhimpunan Bersih itu, walaupun ia haram, dalam keadaan yang baik," katanya.
 
Sementara itu, mengulas perkembangan berkaitan, Jazlan berkata tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai tindakan polis memanggil 7 ahli jawatankuasa pemandu dan sekretariat Bersih 2.0 berhubung perhimpunan itu.
 
"Itulah yang dilaporkan. Saya tidak terima sebarang maklumat lagi," katanya.
 
Terdahulu hari ini, anggota sekretariat Bersih 2.0 Mandeep Singh berkata tujuh ahli jawatankuasa pemandu dan sekretariat Bersih 2.0 diminta tampil di ibu pejabat polis Bukit Aman esok berhubung perhimpunan itu.
 
Katanya, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 120, 124C dan 141 Kanun Keseksaan atas dakwaan menyembunyikan rancangan melakukan suatu kesalahan, cuba melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen dan perhimpunan haram.
 
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran yang walaupun tiada sebarang tangkapan dibuat sebelum Bersih 4, polis masih boleh mengambil tindakan terhadap penganjur selepas perhimpunan itu, mengikut akta dan peraturan sedia ada.

ADUN UMNO KEDAH serang Mukhriz minta undur diri secara terhormat


ADUN UMNO: Mukhriz perlu undur diri secara terhormat
 
Menteri Besar Kedah didakwa gagal membawa pembangunan termasuk menunaikan janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEidXtYDhzj9V6quPpbDiEipqPJYhlksQOMFxW3HcpYk2d31Vk-q8JdgYzbW0rpOYf7o-7AN-gm2HeFkWWcFxtGXDjKymwA6L62hRWYoMLH-Z5LJQkcjuViitFF4SFyyksFDw0xCPYVqDLkr/s1600/Mukhriz_Ahmad-Lebai-Sudin.jpg

PETALING JAYA: Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dituduh Menteri Besar yang gagal kerana tidak melaksanakan janji-janjinya kepada rakyat di negeri Kedah.

Perkara itu ditegaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin yang dipetik menerusi rakaman video yang disiarkan di SuaraTV.

Menurut Ahmad, selama tiga tahun Mukhriz menjadi Menteri Besar, tidak ada pembaharuan dilakukan, malah, segala apa yang dikatakan kepada rakyat di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) lalu hanya sekadar janji-janji kosong.

“Tidak ada apa-apa pembangunan yang dilakukan di Kedah. Semuanya tidak dapat dilaksanakan. Kedah jumud dari segi pembangunannya.

“Malah peruntukan bagi kerajaan negeri tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Saya difahamkan kontraktor-kontraktor yang membuat kerja- kerja di Kedah, sedang ditangguhkan pembayaran mereka. Malah, hubungannya dengan rakyat jelata sendiri tidak berlaku dengan baik.

“Cuma yang ada hanyalah `selfie- selfie’ yang dilakukannya apabila mereka turun bersama masyarakat,” katanya yang mendakwa Mukhriz hanya tahu berselfie untuk meraih populariti.

Ahmad berkata, tiada sebarang pembinaan dilakukan oleh Mukhriz termasuklah janjinya untuk membina litar lumba, lapangan terbang yang tidak menampakkan hasil sekali gus membuktikan bahawa beliau belum mampu menggalas tanggungjawab sebagai seorang menteri besar.

Katanya, beliau yakin jika tiada tindakan diambil, Barisan Nasional akan gagal mengekalkan kuasanya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) nanti.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya Mukhriz mengundur diri secara terhormat.

Ini kerana, katanya, bapa Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamad dan ibunya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta kakaknya, Marina telah turun ke perhimpunan Bersih 4.0 untuk menentang kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Hari-Hari Terakhir UMNO?



 
UMNO kini dalam keadaan yang cukup serabut. Tindakan ahli UMNO cawangan Padang Matsirat, Anina Saadudin yang menyaman Presiden UMNO berhubung derma politik berjumlah RM2.6 bilion adalah kemuncak kepada segala pergolakan politik dalaman UMNO.

umno-malaysia 
Oleh Raziq Michael

Pemilihan dalam Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1987 menyaksikan ada sekumpulan ahli UMNO ketika itu yang tidak berpuas hati terhadap keputusan pemilihan berkenaan lalu mengheret UMNO ke mahkamah. Akibatnya, UMNO diharamkan dan tubuhlah apa yang kini digelar sebagai UMNO baru.

28 tahun kemudian, UMNO diheret ke mahkamah sekali lagi oleh ahlinya dan kali ini fokus kesnya agak berbeza apabila melibatkan keraguannya terhadap Presiden partinya itu sendiri. Mengikut perlembagaan UMNO fasal 12.13.6 dengan jelas menyebut bahawa sebarang masalah berbangkit perlu terlebih dahulu diselesaikan di peringkat Bahagian dan Cawangan dengan kehendak Majlis Tertinggi.

Dalam isu ini adalah menjadi persoalan sama ada perkara ini telah dibincangkan di peringkat dalaman UMNO dan sekiranya ada maka wajar kiranya untuk mengetahui keputusan perbincangan. Tetapi sekiranya perkara ini tidak dibincangkan langsung diperingkat dalaman parti maka tindakan Anina Saadudin yang mengheret UMNO dan Presiden Parti ke mahkamah bukan sahaja membelakangkan semangat kepartian tetapi juga akan tergugur secara automatik keahliannya.

Hala Tuju UMNO

Hakikatnya tindakan Anina Saadudin ini bukan sahaja memberikan ruang kepada pembangkang untuk terus memainkan persepsi akan isu derma politik ini tetapi turut memberikan peluang keemasan kepada media antarabangsa untuk terus mengasak kerajaan dan pemerintah.

Namun, buat tiga juta ahli UMNO yang berdiri teguh bersama Presiden parti haruslah bersikap optimistik kerana tindakan membawakan isu ini ke mahkamah adalah merupakan satu tindakan yang masih dalam lingkungan pemikiran akal yang waras.

Bukankah ini akan memberikan peluang kepada Presiden parti untuk membersihkan namanya serta kredibiliti UMNO amnya dalam usaha untuk menamatkan pelbagai spekulasi dan persepsi melibatkan derma politik RM 2.6 bilion ini? Cuma, soalnya ialah apakah bersedia Presiden parti untuk menyahut cabaran ini dan mampukah ahli-ahli UMNO terus berdiri teguh bersamanya?

Masa Depan Politik UMNO

Secara keseluruhannya, UMNO tidak akan ranap dalam menghadapi isu ini. Tetapi nyata bahawa situasi ini akan membuatkan UMNO berdepan dengan krisis kepercayaan dalam usaha untk menyakinkan bahawa Presiden parti mereka berada di pihak tidak bersalah dan menjadi mangsa pencaturan politik semata-mata.

Sementara di pihak Najib Razak pula, ini adalah masa terbaik untuk membuktikan bahawa beliau tidak terlibat dalam apa-apa penyelewengan sama sekali melibatkan dana derma yang diterimanya.

Dan langkah drastik Najib Razak haruslah segera bertindak dengan mewujudkan satu undang-undang khusus agar semua parti politik mengisytiharkan sumber kewangan yang diperoleh daripada mana-mana pihak yang sehingga kini belum terlaksana. Jika ini dilaksanakan maka ini pastinya merupakan tamparan hebat kepada pembangkang dan mereka yang meragui akan kredibilitinya.

Bak telur dihujung tanduk, begitu juga kerelevanan UMNO kepada rakyat marhaen pada saat ini terletak kepada bagaimana isu ini diadili sewajarnya oleh Perdana Menteri yang juga Presiden parti UMNO.

Raziq Michael adalah pembaca FMT

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dari pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

MAHATHIR MEMANG MAHU DITANGKAP POLIS....


shahbudindotcom


 
 
 
Kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sebanyak dua kali dalam Bersih 4 bukan saja mengundang perhatian ramai serta kecaman daripada para pemimpin UMNO, tetapi turut memancing tindakan pihak polis untuk menyiasatnya. 

Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa bekas Perdana Menteri itu akan disiasat mengenai kehadirannya dalam perhimpunan tersebut serta dakwaan yang dibuatnya berkaitan rasuah terhadap pemimpin tertentu dalam UMNO.

Katanya, pihak polis akan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dakwaan yang dibuat oleh Tun Mahathir itu.

Selain itu, terdapat juga pemimpin UMNO yang mahukan beliau diambil tindakan berikutan kehadiran dalam Bersih 4 yang disifatkan sebagai tindakan bersekongkol dengan gerakan parti-parti pembangkang untuk menumbangkan kerajaan BN.

Malah ada yang menyarankan agar dalam mesyuarat MT UMNO pada 9 September ini, bukan saja Muhyiddin Yassin yang banyak membangkitkan mengenai 1MDB dan  derma RM2,600 juta yang diterima Najib, diambil tindakan pemecatan keahliannya sebagai ahli parti, tetapi patut melibatkan Tun Mahathir juga.

Bagi kebanyakan pemimpin UMNO yang pro Najib, serangan dan kritikan Tun Mahathir jauh lebih serius berbanding apa yang dilakukan oleh Muhyiddin.

Berhadapan kemungkinan akan dipecat bersama-sama Muhyiddin pada 9 September ini, Tun Mahathir juga sebenarnya akan berhadapan penyiasatan oleh pihak polis kerana kehadirannya dalam perhimpunan Bersih 4 baru-baru ini.

Apakah Tun Mahathir takut dengan semua tindakan itu dan beranikah Najib bertindak demikian?

Melihat kepada gerakan Tun Mahathir untuk menurunkan Najib daripada jawatannya sejak lebih setahun yang lalu, yang jelas beliau kini sudah sampai ke peringkat sanggup melakukan apa saja bagi mencapai matlamat dan tujuannya itu.

Menyerang melalui media, menulis di blog, memulaukan program melibatkan Najib, menjelajah ke beberapa negeri, mahu undi tidak percaya diusulkan di Parlimen dan akhirnya turun ke perhimpunan Bersih 4 adalah isyarat jelas mengenai kesediaannya melakukan apa saja untuk menjatuhkan Najib.

Selepas ini, percayalah,  lebih banyak tindakan mengejutkan bakal diambilnya demi meneruskan tekanan dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap Najib.

Ketika di Bersih 4 baru-baru ini, antara serangan Tun Mahathir terhadap Najib ialah rosaknya sistem undang-undang yang ditunjukkan melalui pemecatan Peguam Negara, pembubaran pasukan petugas khas, gangguan terhadap Gabenor Bank Negara, ancaman terhadap siasatan SPRM dan menggagalkan peranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC yang dilakukan semata-mata untuk menyelamatkan kedudukannya.

Dengan semua tindakan itu, kata-kata "tunggulah siasatan dahulu" atau "tunggulah laporan audit" sebelum meneruskan kecaman terhadap 1MDB dan Najib seolah-olah sudah tidak bermakna apa-apa lagi.

Dengan menghadiri Bersih 4, bahkan melakukannya sebanyak dua kali, Tun Mahathir kini bukan saja menunjukkan kebersamaannya untuk sehati dan sejiwa dengan rakyat, bahkan sedang cuba membuktikan kebenaran dakwaannya bahawa Najib sanggup melakukan apa saja melalui cengkaman undang-undang kepada sesiapa juga untuk terus kekal berkuasa.

Jika tangkapan dilakukan terhadap Tun Mahathir, bermakna benarlah semua semua dakwaannya selama ini.

Disiasat dan ditangkap polis serta dipecat daripada UMNO tidak lain adalah kemahuan Tun Mahathir sendiri untuk lebih menjadikan Najib kian ditolak rakyat. Jika ketika era Tun Abdullah dulu, beliau bertindak keluar UMNO sebagai klimaks meneruskan tekanan, pengorbanannya sekarang beralih agar dipecat dan ditangkap pula atas arahan Najib.

Tun Mahathir sekarang seperti sedang menari dan mengalunkan muzik agar Najib dan para pemimpin UMNO turut melangkah dan menggoyangkan mengikut irama yang diorkestrakan olehnya. 

Memecat dan menangkap Tun Mahathir bukan saja menyebabkan rakyat lebih memihak kepadanya, bahkan ahli dan penyokong UMNO di peringkat akar umbi juga akan lebih berpecah kerananya.

Kiranya Najib merasakan beliau mampu bertahan sehingga tarikh PRU 14 akan datang sebelum menyerahkan kepada rakyat membuat penentuan, memecat dan menangkap Tun Mahathir akan membuatkan "tarikh perginya" lebih awal daripada itu.

Membiarkan Tun Mahathir bebas lepas dan terus-terusan menyerang Najib tanpa diambil apa-apa tindakan pula, khususnya berkaitan 1MDB dan derma RM2,600 juta akan membuatkan Najib lebih sukar berhadapan rakyat dalam pilihanraya akan datang.

Secara nyatanya, Najib sebenarnya semakin tidak mempunyai pilihan lagi dalam berhadapan dengan Tun Mahathir ini.

Bersama PAS, PKR, DAP, Amanah kukuhkan pembangkang, kata Anwar


Bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penubuhan Amanah adalah petanda baik kepada politik matang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 September, 2015.

Penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) akan mengukuhkan gabungan pembangkang, yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP, dalam arena politik tanah air, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan PKR malam tadi, bekas ketua pembangkang itu berkata, penubuhan Amanah adalah petanda baik kepada politik matang.

"Penubuhan sebuah parti pembangkang baru yang komited kepada perubahan dan reformasi merupakan satu petanda baik bagi politik matang yang mengetengahkan kebertanggungjawaban demokratik.

"Amanah akan terus mengukuhkan pembangkang di peringkat nasional, bersama PKR, PAS, DAP; dan kami akan memperluas muafakat ini termasuk kepada badan bukan kerajaan (NGO) lain yang komited dan yang berkongsi matlamat yang sama," katanya.

Ketua umum PKR itu yang kini di penjara itu berkata, fokus pakatan pembangkang kini adalah untuk memberikan rakyat satu alternatif yang berdaya maju, berasaskan kedaulatan undang-undang dan nilai-nilai demokratik.

Bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu semalam mengumumkan secara rasmi Gerakan Harapan Baru (GHB) akan muncul sebagai parti politik dengan menggunakan platform nama Parti Pekerja.

Katanya, butiran lanjut mengenai pertukaran nama dan perlembagaan parti akan diputuskan kemudian dan akan diumumkan semula pada 16 September kelak.

Mohamad berkata wadah politik yang kini dipelopori GHB komited meneruskan legasi politik Islam yang pernah ditunjukkan Yusuf Rawa, Datuk Fadzil Noor dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, parti politik itu akan terus berpaksi kepada politik berasaskan ilmu dan akhlak, mewujudkan budaya mampu mengurus perbezaan dalam pelaksanaan prinsip hak bersuara dan tuntutan kesaksamaan seperti yang dituntut Islam.

“Islam yang syumul serta bertindak secara inklusif tidak mengasing dan meminggirkan mana-mana segmen rakyat untuk memberi keadilan dan kesejahteraan merentasi semua kaum dan agama,” katanya.

Beliau menyasarkan keahlian parti baharu itu akan meningkatkan kepada 35,000 orang menjelang 16 September yang menyaksikan parti berkenaan berubah wajah dan tampil dengan nama baharu. – 1 September, 2015.

Perihal Bersih 4 dan PAS yang bakal tersisih


Sayang seribu kali sayang, dikala ratusan ribu rakyat turun merayakan pesta demokrasi Bersih 4 di Dataran Merdeka, parti PAS memilih untuk tidak menjadi peserta. Bukan setakat menjadi pemerhati, bahkan PAS memilih untuk menjadi pengkritik kepada program yang dihadiri suku juta rakyat (mengikut sesetengah bancian) tersebut. Tidak dinafikan, mengikut beberapa badan kajian berkecuali, ratusan ribu perserta bersih tersebut majoritinya adalah bukan Melayu, Cina khasnya.


Yang pasti, PAS terperangkap dengan sindrom penafian dan siege mentality. PAS masih belum bersedia menerima hakikat. Hakikat demokrasi akan terus meriah, dan suara rakyat akan tetap lantang.

Sebelum PAS merasai terdorong untuk kekal berbangga dengan sikap berkecuali mereka dan memperlekehkan usaha penganjur, PAS harus memahami beberapa hakikat dan realiti lanskap politik sediada yang memberi natijah dari boikot mereka, antara lain;

Hakikat 1: Nasib 54 kerusi PAS, ditangan 1 juta pemilih bukan Melayu.
PAS jangan lupa akan percaturan berebut kerusi menjelang setiap pilihanraya. Sudah menjadi tradisi PAS dan persepsi umum PAS sangat bermegah dengan jumlah kerusi yang ditandingi (sekaligus membawa mesej kepada rakyat PAS sangat berpengaruh dalam percaturan negosiasi kerusi, dan bukan parti umpama pipi tersorong-sorong dan terhegeh-hegeh mengharapkan ihsan DAP atau PKR untuk menagih jumlah kerusi yang banyak).

Pada PRU13 yang lalu, PAS diberi sejumlah 73 kerusi , jauh melepasi 51 kerusi DAP. Satu pembahagian yang dikira besar dan pengiktirafan kepada PAS sebagai rakan kongsi utama barisan pakatan pembangkang. Pada waktu itu.
Bagaimanapun, semua sudah sedia maklum, pencapaian PAS adalah yang paling tercorot, berbanding rakan kongsi Pakatan Rakyat yang lain.

Dari 73 kerusi parlimen yang di peruntukkan kepada PAS untuk ditandingi pada PRU13, PAS berjaya memungut sejumlah 1,633,389 suara undi.

Satu perkara yang PAS perlu ingat, terdapat lebih 1 juta pengundi bukan Melayu, di seluruh kawasan yang di tandingi PAS. Umum juga mengetahui berbanding Umno/BN, lebih rami kaum bukan Melayu, kaum Cina khasnya yang mengundi Pakatan Rakyat, termasuklah PAS. Dengan kata lain, hasil gabungan dalam Pakatan Rakyat, PAS mendapat limpahan manafaat undi bukan melayu, yang membantu memenangkan calon-calon mereka.

Dari 73 kerusi tersebut, sejumlah 54 kerusi PAS adalah bergantung kepada undian bukan Melayu. Tanpa undi bukan Melayu, PAS tidak mampu memperoleh majoriti yang begitu besar untuk menewaskan Umno, ataupun setidaknya mampu merapatkan jurang defisit majoriti Umno/BN kedalam jangkauan untuk menang.

Tetapi dengan sikap yang merasakan mereka kuat, mampu bersendiri, dan tidak memerlukan ihsan pengundi bukan Melayu, PAS berdepan dengan risiko kehilangan semua 54 kerusi tadi.

Hakikat 2: Nasib 21 kerusi yang dimenangi, belum tentu milik mutlak kelompok konservatif.
Dari 21 kerusi yang dimenangi, sejumlah 13 kerusi sememangnya sudah diiktiraf sebagai kerusi PAS, secara geografi, tradisi mahupun demografi pemilih melayu nya. Bagaimanapun, harus diingat 13 kerusi ini tidak semuanya dikira kerusi selamat untuk PAS. Sekurang-kurangnya 4 kerusi boleh dikira marginal dan masih dalam jangkauan untuk direntap musuh tradisinya, Umno

Dari baki 9 kerusi yang ‘betul-betul selamat’ dari jangkauan Umno itu pula, tidak semuanya boleh dikira sebagai kerusi milik mutlak puak-puak konservatif dalam PAS, mengambilkira pergolakan dalaman dan pengaruh puak-puak progresif yang cuba disingkirkan puak konservatif.

Ringkasnya, dari 21 kerusi yang dimenangi pada PRU13, kerusi yang betul betul boleh dianggap kubu kuat PAS, boleh dikira dengan jari. Selebihnya bole dianggap milik kelompok progresif yang kini sudah mengistihar diri mereka bersama parti baru, ataupun mereka yang sedang bersiap sedia untuk terjun bersama parti baru.

Hakikat 3: PAS akan tersisih
Amat malang jika PAS memilih untuk merasakan diri mereka hebat dan tidak perlu bergabung dengan pihak lain untuk mencari sinergi, hatta dengan parti Harapan Baru yang mereka anggap derhaka dan serpihan itu. Jika PAS masih berdegil dan masih dalam mode penafian, jangan terkejut jika PAS selamat dengan 7 atau 8 kerusi Parlimen, dan berisiko kehilangan negeri kubu tradisi mereka, dan akan tersisih secara semula jadi. Mungkin menerima senasib yang sama seperti parti Saadet Turki yang menafikan kemunculan dan kemaraan parti AKP yang asalnya dianggap serpihan.

Lain lah kalau PAS melihat Umno, sebagai talian hayat politik mereka. – 1 September, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

'I am not a yes man' sambut Muhyiddin di KLIA





Seramai kira-kira seratus orang penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut ketibaan bekas timbalan perdana menteri itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.

Penyokong yang mengenakan baju berwarna hitam dengan gambar Muhyiddin beserta tulisan "I am not a yes man" di belakang baju tersebut mula berkumpul di KLIA seawal jam 7.30 pagi.

Mereka hadir pada pagi ini bertujuan bagi menunjukkan sokongan kepada Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno itu.

Antara penyokong yang hadir merupakan ahli Umno di beberapa bahagian di Johor iaitu Ayer Hitam, Gelang Patah, Pulai, Pengerang dan Pagoh.

Turut hadir ialah abang Muhyiddin, Tan Sri Abdul Aziz Yassin.

Muhyiddin yang baru tiba dari Australia selepas bercuti selama dua minggu bersama isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman mendapat tepukan gemuruh ketika mereka berjalan keluar di balai ketibaan.

Ketika ahli Parlimen Pagoh itu tiba pada jam 8.30 pagi beliau turut dipeluk dan bersalaman dengan para penyokongnya.

Walaupun Muhyiddin dilihat keletihan, namun beliau tersenyum dan bersalam serta bergambar dengan para penyokongnya.

Selepas itu, bacaan doa bagi menyambut kepulangan dan keselamatan Muhyiddin dibacakan oleh salah seorang daripada mereka.

Ketika didekati media, Muhyiddin hanya mengangkat tangan dan berkata "Tak apalah" sambil tersenyum.

Beliau kemudian beredar selepas beramah mesra dengan penyokongnya selama kira-kira 20 minit.

Muhyiddin digugurkan daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 28 Julai lalu.

Penggugurannya itu dipercayai ekoran kelantangan Muhyiddin berhubung isu skandal kewangan 1MDB.

Malah, beliau juga sebelum ini menegaskan, bahawa beliau bukanlah seorang pak turut dan tidak akan berundur daripada jawatan timbalan presiden Umno.

- mkini

Gelaran Dato' Kepada Anak Zahid Jadi Pertikaian


 


KUALA LUMPUR: Belum pun reda isu kritikan beliau terhadap peserta Perhimpunan Bersih, nama Nurulhidayah Ahmad Zahid terus menjadi topik perbualan warga media sosial.

Terbaharu, status dan gelaran Dato' yang dibawanya mula menjadi persoalan ramai.

Semuanya bermula apabila beberapa laman Facebook memuat naik gambar Nurul sedang ditemu ramah sebuah stesen televisyen dengan nama beliau terpapar di skrin. Dalam paparan itu, nama Nurul didahului dengan gelaran Dato'.

Netizen kebanyakan mempersoalkan fakta bagaimana gelaran Dato' seharusnya diberi seiring dengan sumbangan.

Dato' Nurul Hidayah? Who is she? Ikon belia? Seriously icon? Apa sumbangan dia? Ctdk okla kalau nak kata ikon. Not that Dato' nurul

— HM (@hakimkeemo) August 31, 2015

 Menurut laporan beberapa portal media, Nurul adalah Ketua Komunikasi Bahagian Korporat Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan merupakan graduan Universiti Putra Malaysia. Beliau juga aktif dalam Askar Wataniah.