Bahkan sanggup berkompromi sehinggakan terpaksa melantik kluster mahkamah menjawat jawatan penting dalam Kabinet demi kelangsungan kuasa mereka.
Malah katanya, kemenangan di 74 kerusi Parlimen dalam ‘Gelombang PN Best’ ini menandakan suatu permulaan yang menggetarkan kerajaan PH dan BN sehingga terpaksa menyekat video pro-PN dalam media sosial seperti TikTok dan akhirnya menjerumuskan kerajaan PH dan BN ini sebagai sebuah rejim yang cakap tidak serupa bikin.
“Ia juga tidak menjamin kebebasan media seperti yang dijanjikan bahkan bersifat ‘double standard’ apabila tiada tindakan sekatan dibuat bagi kenyataan provokatif penyokong PH dan BN di media sosial yang lain seperti di Twitter.
“Maka, ‘Gelombang PN Best’ membawa maksud kesejahteraan kepada rakyat secara menyeluruh tanpa mengira bangsa dan agama.
“Pendekatan PAS yang menekankan aspek prinsip menjadikan ia wadah bagi memantapkan pegangan hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya.
Sumber | ismaweb / Siti Hafidah
2. Bila Tsunami Merah ditelan Tsunami Hijau
SEMALAM Lim Kit Siang bersuara menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim segera untuk menggubal polisi-polisi bersifat reformasi untuk mengekang Tsunami Hijau melanda seluruh negara dalam PRU16.
Sebagai seorang veteran politik, sudah pasti Kit Siang begitu memahami kaitan antara ideologi politik dan warna. Oleh kerana itu, apabila beliau melabelkan Tsunami Hijau kepada perubahan politik yang berlaku dalam PRU15, sudah tentu beliau merujuk kepada sebuah ideologi politik yang dibimbangi olehnya sedang melebarkan pengaruh di negara ini. Kebimbangan Kit Siang itu, pastinya berkaitan dengan pengaruh politik Islam yang dibawa oleh PAS.
Dalam konteks dunia politik, warna hijau sememangnya dikenali merujuk kepada aliran politik yang memperjuangkan Islam sebagai gagasan politik yang diyakini boleh menyelesaikan masalah kehidupan. Para ilmuan Barat menamakan gagasan itu sebagai Islamisme. Bagaimanapun, setelah munculnya aliran politik Environmentalisme akhir 1980-an, aliran politik ini juga dikaitkan dengan warna hijau terutama di negara-negara yang bukan dari kalangan Dunia Islam. Dalam konteks Malaysia, bila Kit Siang menyebut Tsunami Hijau, ia merujuk kepada parti yang memperjuangkan Islam iaitu PAS.
Warna biru pula, selalunya dikaitkan dengan parti-parti aliran kanan iaitu yang beraliran pemikiran konservatif, contohnya Conservative Party di United Kingdom. Parti-parti aliran kanan ini lazimnya memperjuangkan ideologi politik yang tidak kontra dengan akar-umbi politik di sesebuah negara, serta melakukan perubahan-perubahan politik secara organik atau evolusi. Ia bertentangan dengan warna merah, iaitu parti-parti politik aliran kiri yang lazimnya berideologi Sosialisme atau Komunisme. Sememangnya dalam dunia politik, parti-parti yang berteraskan Sosialisme menggunakan warna merah, malah revolusi yang mereka lakukan digelar Revolusi Merah.
Secara jelas di dalam Perlembagaan DAP, parti tersebut memperjuangkan Sosialisme. Cuma, beza DAP dan parti-parti Komunis di negara-negara yang berideologikan Sosialisme ialah pendekatan politik. DAP memperjuangkan Sosialisme melalui pendekatan demokrasi manakala parti-parti Komunis lain menegakkan ideologi Sosialisme mereka melalui pendekatan autokrasi. Bagaimanapun, selepas memasuki alaf baru hampir kebanyakan parti-parti Komunis ini mula menerima pendekatan demokrasi. Perubahan pendekatan parti-parti yang memperjuangkan ideologi Sosialisme ini, disebut sebagai Millennial Socialism.
Semasa awal penubuhan DAP, parti ini menyertai rangkaian Sosialis Antarabangsa yang turut disertai oleh parti-parti yang memperjuangkan Sosialisme di dalam politik demokrasi di seluruh dunia. Selepas 50 tahun di dalam rangkaian itu, DAP keluar dan menyertai rangkaian global yang baru ditubuhkan oleh parti-parti yang sealiran dengannya, iaitu rangkaian Ikatan Progresif. Apapun perubahan yang berlaku, ideologi yang diperjuangkan oleh DAP masih Sosialisme, iaitu dari segi falsafah politiknya berakar dari falsafah Karl Marx. Tidak dinafikan ada juga akar ideologi Sosialisme ini dari ahli-ahli falsafah lain, tetapi yang utamanya adalah Falsafah Marxisme.
Oleh sebab itu, sejak penubuhan DAP yang mengambil acuan PAP selepas Singapura keluar dari Malaysia, intipati perjuangan DAP adalah seperti yang diisytiharkan oleh Deklarasi Setapak 1967. Deklarasi ini adalah manifestasi dari gagasan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh PAP ketika Singapura berada di dalam Malaysia. Akar ideologi Deklarasi Setapak ini adalah Sosialisme, iaitu ideologi yang menekankan manusia yang semuanya sama kelas. Dalam konteks Deklarasi Setapak, DAP memperjuangkan kesamarataan etnik di Malaysia, tidak ada warganegara Bumiputera dan bukan Bumiputera. Sehingga hari ini, DAP tetap memperjuangkan Deklarasi Setapak itu.
Pengaruh DAP atau ‘Arus Merah’ pasang surut selepas parti ini ditubuhkan. Bagaimanapun, pada PRU12 tahun 2008 Arus Merah yang dicetuskan oleh DAP mula membentuk gelombang yang semakin besar. Pada PRU12 tahun 2008, DAP mula menawan 28 kerusi Parlimen, diikuti dengan PRU13 pada tahun 2013 bertambah kepada 37 kerusi Parlimen. Arus Merah DAP kemudian menjadi Tsunami Merah apabila mereka berjaya memenangi 42 kerusi Parlimen pada PRU14 tahun 2018. Kemaraan DAP dengan Tsunami Merah itu, mereka cuba luaskan lagi pada PRU15 apabila DAP mula menghantar calon di kerusi-kerusi majoriti Melayu seperti di Jerai dan Gerik.
Tsunami Merah yang dicetuskan oleh DAP seperti tidak ada parti-parti Melayu-Bumiputera yang mampu menghalang. Dengan sokongan solid pengundi Cina dan sebahagian besar pengundi-pengundi India, DAP berkeyakinan untuk meneroka pasaran baru di kawasan-kawasan yang bermajoriti Melayu. DAP meletakkan calon Melayu antaranya di Bangi, Bentong dan Ayer Hitam. Mereka menyasarkan untuk menawan lebih daripada 42 kerusi, iaitu lebih daripada bilangan yang mereka berjaya tawan dalam PRU14. Sekiranya PH menang dengan majoriti mudah, dengan bilangan kerusi DAP yang paling banyak, mereka boleh menuntut lebih kerusi Menteri atau Timbalan Menteri.
Bagaimanapun, sasaran DAP untuk mencetuskan Tsunami Merah kali kedua sedikit tersasar. Mereka tidak berjaya menambah kerusi, bahkan kerusi mereka berkurangan sedikit. Meskipun hampir 100 peratus pengundi Cina mengundi DAP dan PH, dan riak untuk tercetusnya Tsunami Merah memang sudah mencukupi untuk terjadi, tiba-tiba ada tsunami politik yang lebih besar berlaku. Tsunami Merah cetusan DAP memang berlaku dalam PRU15 baru ni, tetapi Tsunami Hijau mempunyai magnitud yang lebih besar. Tsunami Merah (Sosialisme) ditelan oleh Tsunami Hijau (Islamisme). Pastinya Kit Siang antara yang paling terkejut dengan perkembangan itu.
Ketika PH masih merayakan pelantikan Perdana Menteri ke-10 dan Menteri-menteri Kabinet, veteran politik seperti Kit Siang sudah melihat bahana yang akan menimpa perjuangan Sosialisme dan gagasan Malaysian Malaysia mereka jika Tsunami Hijau ini tidak dibendung. Mereka telah berjaya menjinakkan Umno, sehingga Parti Melayu itu sudah hilang taring dan kukunya. Mereka telah sedia menunggangi PKR dan PAN sebelum ini, untuk menjayakan agenda Sosialisme dan Malaysian Malaysia mereka. Sekarang Tsunami Merah bertemu buku dan ruas dengan Tsunami Hijau. Untungnya tunggangan DAP telah bertambah, iaitu Umno, PKR dan PAN.
DR ZUHDI MARSUKI – HARAKAHDAILY 11/12/2022
Komen Weblog Ibnu Hasyim: K/Siang provokatif, ekstremis. Tsunami Merah ditelan Hijau..
PH kini masih merayakan pelantikan PM10. Menteri-menteri kabinet, veteran politik seperti Kit Siang sudah melihat bahana akan menimpa perjuangan Sosialisme dan gagasan Malaysian Malaysia mereka.
Konon mereka telah berjaya menjinakkan Umno, sehingga Parti Melayu itu sudah hilang taring dan kukunya. Mereka telah menunggangi PKR dan PAN sebelum ini, untuk menjayakan agenda Sosialisme dan Malaysian Malaysia mereka.
Sekarang Tsunami Merah bertemu buku dan ruas dengan Tsunami Hijau. Tunggangan DAP telah bertambah, iaitu Umno, PKR dan PAN, akan menjadikan pertempuran bertambah hebat!
Sekian dulu.